PRN17: GRS dan Warisan Terus Berbeza Haluan
KOTA KINABALU, 8 Jan – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan kini berbeza pendapat berhubung isu kerjasama yang diutarakan oleh pemimpin masing-masing menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka boleh diadakan sebelum Oktober tahun ini.
Menurut Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, gabungan tersebut tidak pernah secara rasmi membincangkan soal kerjasama dengan Warisan mahupun menerima parti itu sebagai anggota.
Meskipun ada pemimpin tertentu dalam GRS yang mencadangkan agar Warisan bergabung dengan mereka, Joniston menegaskan bahawa pendapat itu bukanlah pendirian rasmi gabungan tersebut.
“Cadangan untuk mengundang Warisan menyertai GRS adalah pandangan individu tertentu dan tidak menggambarkan pendirian rasmi GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), perkara itu tidak pernah dibincangkan secara formal dalam parti komponen GRS, termasuk PBS sendiri, meskipun terdapat cadangan sedemikian daripada pemimpin PBS.
Beliau memberikan kenyataan tersebut sebagai respon kepada soalan media dan penyokong GRS, khususnya dari kalangan PBS, yang ingin mendapatkan kepastian mengenai pendirian gabungan berhubung isu kerjasama dengan Warisan.
ADUN Kiulu itu menjelaskan, walaupun GRS menyokong usaha menyatukan parti-parti tempatan demi kepentingan Sabah, proses yang sewajarnya perlu dilalui dan sehingga kini tiada sebarang perbincangan rasmi dijalankan.
“Pandangan ini hanya datang daripada individu tertentu dan belum dibawa untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan GRS atau PBS,” katanya.
Cadangan agar Warisan menyertai GRS mula menjadi perhatian selepas presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mendakwa GRS telah beberapa kali menolak tawaran kerjasama menjelang PRN akan datang.
Susulan itu, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, mencadangkan agar Warisan membuat permohonan rasmi untuk menyertai GRS dan membiarkan Majlis Tertinggi gabungan menilai permohonan tersebut.
Dalam pada itu, pemimpin Warisan memberi reaksi terhadap perkara tersebut dengan menyatakan bahawa mereka tidak akan menerima pelawaan menyertai GRS. Ini disebabkan oleh dakwaan skandal rasuah yang melibatkan pemimpin dalam parti komponen gabungan itu.