112 Kilogram Minyak Masak Bersubsidi Disita di Pahang
KUANTAN, 9 Jan 2025 – Sebuah premis di Pahang telah diserbu oleh pihak berkuasa selepas disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi. Dalam serbuan tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita 112 kilogram minyak masak peket bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran sah.
Menurut kenyataan KPDN, operasi yang dilakukan pada jam 11 pagi itu adalah hasil daripada maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan sebelum ini.
Seorang lelaki berusia 45 tahun, dipercayai pemilik premis tersebut, telah ditahan untuk membantu siasatan. “Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu memiliki barang kawalan berjadual melebihi had yang disyaratkan,” katanya .
KPDN menegaskan komitmennya untuk terus memantau dan membanteras aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi yang boleh menjejaskan hak pengguna, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada subsidi tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan seperti ini diseru untuk menyalurkan maklumat melalui talian aduan rasmi KPDN di 1-800-886-800 atau melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317.