Ketua Polis Negara Sahkan Siasatan Kes Hantaran Harith Iskander
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Pelawak dan pelakon terkenal, Harith Iskander, telah dipanggil pihak polis untuk memberikan keterangan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama Islam berkaitan isu ‘ham’, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa seorang lagi individu, dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’, turut dikenal pasti mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan individu tersebut.
“Setakat ini, siasatan sedang berjalan dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya ketika dihubungi.
Menurut beliau, polis telah menerima sebanyak 16 laporan berkaitan isu ini dari seluruh negara.
Hantaran di Facebook Harith Iskander yang kini berusia 54 tahun itu menjadi perhatian selepas dia memuat naik gambar yang menunjukkan secawan kopi berlabel ham sap kopi dengan harga RM5.50.
Semakan pada laman Facebook rasmi selebriti tersebut, yang mempunyai lebih satu juta pengikut, mendapati hantaran tersebut dimuat naik pada Sabtu lepas.
Dalam hantaran itu, Harith menulis:
“Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”
Hantaran tersebut diakhiri dengan emoji ketawa hingga keluar air mata dan dikatakan mencetuskan rasa tidak senang apabila dianggap memperlekehkan agama Islam.