Amanah Mampu Menang Besar di Kelantan – Mohamad Sabu
KLANG, 27 Jan – Presiden Amanah, Mohamad Sabu, menyatakan keyakinannya bahawa parti itu mampu meraih kemenangan lebih besar di Kelantan pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16), negeri yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat PAS.
Menurutnya, matlamat tersebut boleh dicapai jika kesatuan dalam kalangan parti-parti dalam kerajaan dapat dikekalkan dan pembahagian kerusi dilakukan dengan teliti.
“Kita perlu memberi fokus kepada negeri-negeri yang telah diberikan tugas, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
“Memang cabaran besar untuk berhadapan dengan parti yang sedang memerintah.
“Tetapi saya yakin, sekiranya perpaduan dalam kalangan kita terjalin dengan baik dan pembahagian kerusi dilakukan secara tepat, kita boleh meraih kemenangan dengan majoriti besar di Kelantan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang hari ini.
Sejak ditubuhkan pada 2015, Amanah berjaya meraih kemenangan sulung di Kelantan dengan memperoleh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama menerusi calon Dr. Hafidzah Mustakim pada pilihan raya yang lepas.
Dalam masa yang sama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Amanah di Kelantan.
Namun, beliau melihat pergolakan tersebut sebagai sesuatu yang positif bagi perkembangan parti itu.
“Di Kelantan, memang ada sedikit ketegangan dalam Amanah. Kenapa ia berlaku? Kerana masing-masing ingin menunjukkan mereka yang terbaik, jadi timbul sedikit pergolakan.
“Kadang-kadang ia berpunca daripada perebutan untuk menjadi ketua, ada juga yang merasakan mereka lebih layak, termasuk Awan (Angkatan Wanita Amanah) yang turut menyatakan hasratnya.
“Perkara seperti ini menyebabkan masing-masing mahu mengadakan mesyuarat agung dengan membawa ahli yang ramai, kadang-kadang ratusan ahli hadir.
“Oleh itu, bila saya dengar tentang pergolakan dalam Amanah, saya tenang sahaja. Saya percaya ini adalah petanda bahawa kawasan ini akan terus berkembang maju,” tambahnya.