Makkah

Syarikat Hartanah di Makkah dan Madinah Kini Terbuka kepada Pelaburan Luar

RIYADH, 28 Jan – Kerajaan Arab Saudi kini membenarkan pelabur luar negara mengambil bahagian dalam syarikat tersenarai di bursa saham Saudi yang memiliki aset hartanah di Makkah dan Madinah, dua bandar paling suci bagi umat Islam.

Menurut Pihak Berkuasa Pasaran Modal negara itu, langkah ini bertujuan menarik lebih banyak pelaburan, meningkatkan prestasi dan daya saing pasaran modal, serta memperkukuh ekonomi tempatan di peringkat serantau dan global.

Keputusan ini membolehkan pemodal asing membeli saham dalam syarikat Saudi yang memiliki hartanah di kawasan Makkah dan Madinah, sama ada melalui pegangan ekuiti, instrumen hutang boleh tukar, atau kedua-duanya sekali.

Namun, pihak berkuasa menegaskan bahawa pelaburan asing dalam syarikat ini tidak boleh melebihi 49 peratus daripada jumlah keseluruhan pegangan.

Arab Saudi, yang merupakan ekonomi paling dominan di rantau Asia Barat serta pengeksport utama minyak mentah dunia, telah melaksanakan pelbagai inisiatif reformasi dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum dengan mempelbagaikan sumber ekonomi melalui pelancongan dan pelaburan asing.

Makkah, yang menjadi destinasi jutaan umat Islam setiap tahun, kini sedang menjalani pembangunan berskala besar dengan sasaran menarik seramai 30 juta pengunjung menjelang tahun 2030.

Salah satu projek utama yang dikenali sebagai Masar, dibiayai oleh Dana Pelaburan Awam kerajaan, merancang pembinaan sebanyak 40,000 bilik hotel baharu di Makkah.

Hasil daripada ketibaan jemaah haji dan umrah pada tahun 2019 dianggarkan mencecah AS$12 bilion (RM52.5 bilion). Walau bagaimanapun, individu bukan Islam masih tidak dibenarkan memasuki kota suci tersebut.

Verified by MonsterInsights