Pentingnya Menjaga Sensitiviti Agama dan Kaum – Majlis Ulama UMNO
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Majlis Ulama UMNO menasihati para pemimpin kerajaan, khususnya menteri-menteri yang bukan beragama Islam, agar lebih berwaspada ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan hal ehwal Islam dan umat Islam.
Tanpa menyebut nama mana-mana menteri secara khusus, Majlis Ulama UMNO menekankan kepentingan untuk mengelakkan sebarang tanggapan negatif yang boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk memanipulasi atau membangkitkan isu-isu sensitif sehingga mengancam kesucian agama Islam.
Majlis tersebut juga mengingatkan tentang dua isu terkini, iaitu penggunaan logo halal palsu pada sandwic ‘ham dan keju’ serta penjualan arak di kawasan majoriti Muslim di Ipoh, Perak, sebagai pengajaran.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan antara tonggak utama yang berjaya memperkukuhkan kedudukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan, meneruskan usaha kerajaan-kerajaan sebelumnya dalam memajukan Islam di negara ini sejak mencapai kemerdekaan.
“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ini menjadi contoh terbaik dalam mewujudkan perpaduan antara kaum di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, semua parti yang terlibat dalam Kerajaan Perpaduan perlu menjaga keharmonian dan sensitiviti setiap kaum,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, Majlis Ulama UMNO menegaskan komitmen mereka untuk terus mempromosikan perkembangan Islam di negara ini serta mempertahankan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu, dan Hak Istimewa Orang Melayu.
“Prinsip-prinsip ini menjadi teras dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan,” tambah kenyataan tersebut.