Perpaduan Kunci Utama Kejayaan PBB di Sarawak
KUCHING, 15 Feb – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus meneguhkan kedudukan sebagai tonggak utama dalam perjuangan politik Sarawak, seiring dengan pesanan penting yang disampaikan oleh Yang Dipertua parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapan perasmiannya sempena Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini, beliau menekankan kepentingan memastikan rakyat Sarawak, khususnya di pesisir dan luar bandar, tidak terpinggir daripada arus perdana pembangunan.
Akar Umbi Kekuatan Kita
— Fadillah Yusof 🇲🇾 (@PetraJayaMP) February 15, 2025
Akar Umbi Harus Kita Bela
Itu antara pesanan penting Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga YAB Premier Sarawak, ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di di Pusat… pic.twitter.com/fDI6nuCMwS
Menurut beliau, pemimpin PBB bertanggungjawab memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, sejajar dengan dasar yang diperjuangkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh PBB sebagai parti utama. Sejarah selama 52 tahun penubuhan PBB telah membuktikan bahawa kekuatan parti terletak pada sokongan akar umbi, dan sokongan ini harus terus diperkukuh demi kelangsungan perjuangan politik Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari juga menegaskan bahawa perpaduan, kesatuan, dan toleransi dalam kalangan ahli PBB merupakan elemen utama yang membentuk asas kekuatan parti. Budaya ini harus terus dipertahankan untuk memastikan PBB kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran politik semasa serta masa hadapan.
Bertemakan “PBB Tonggak Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian Sarawak”, Perhimpunan Agung Ke-16 PBB kali ini menyaksikan kehadiran seramai 3,535 perwakilan dan pemerhati dari 82 cawangan di seluruh negeri. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan komitmen tinggi ahli parti dalam memastikan perjuangan politik Sarawak terus diperkasa demi kestabilan dan kemajuan negeri.
PBB berikrar untuk terus berperanan sebagai wadah utama dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak di dalam Malaysia, dengan mengekalkan kestabilan politik serta memperkukuh kedudukan ekonomi negeri melalui inisiatif pembangunan yang berterusan. Perhimpunan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh strategi serta hala tuju parti dalam mendepani cabaran masa depan, selari dengan aspirasi rakyat Sarawak.
Seiring dengan pesanan Yang Dipertua parti, PBB akan terus melangkah ke hadapan dengan satu semangat yang teguh demi memastikan Sarawak terus maju dan sejahtera dalam arus pembangunan negara.