Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, tangkapan yang dilakukan melibatkan dua lelaki warga tempatan serta 25 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Warga tempatan yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pemilik hartanah serta penyelia yang mengendalikan pekerja di kilang terbabit.

PGA & JAS Perak Tumpaskan Operasi Sisa Elektronik

IPOH, 16 Feb – Sebuah kilang pemprosesan sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang telah diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu, membawa kepada penahanan 27 individu serta penyitaan pelbagai barangan bernilai RM1.3 bilion.

Serbuan yang dijalankan menerusi Op Hazard sekitar jam 9.30 pagi semalam melibatkan Unit Risikan Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak. Operasi ini dilakukan hasil daripada risikan yang telah dijalankan selama kira-kira sebulan.

Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, tangkapan yang dilakukan melibatkan dua lelaki warga tempatan serta 25 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Warga tempatan yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pemilik hartanah serta penyelia yang mengendalikan pekerja di kilang terbabit.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki warganegara China, 10 lelaki serta dua wanita warga Myanmar, termasuk seorang kanak-kanak,” kata Shahrum dalam sidang media di lokasi serbuan.

Pemeriksaan di kilang seluas 4.8 hektar itu mendapati ia beroperasi tanpa pendaftaran dengan JAS dan menempatkan mesin pemprosesan serta makmal penyelidikan yang dikendalikan oleh seorang saintis warganegara China berusia 60 tahun.

Kilang ini didapati menjalankan aktiviti peleburan dan pemprosesan logam seperti emas, kuprum, timah, serta tembaga dari sisa elektronik yang dibawa masuk dari China, Amerika Syarikat, Bolivia, Oman, dan Thailand melalui Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua warga China yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan, namun tiada cop keluar dan masuk ke negara ini, menimbulkan kemungkinan penggunaan dokumen palsu. Sementara itu, warga Myanmar yang ditahan pula tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” tambah Shahrum.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana kegagalan mendapatkan kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta Seksyen 14 akta yang sama kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Persampelan yang dijalankan oleh JAS Perak mendapati buangan yang dikendalikan kilang tersebut dikategorikan sebagai buangan terjadual SW110-EWASTE dan SW104-Debu atau Dros, yang mengandungi logam berat berbahaya seperti aluminium, arsenik, raksa, dan plumbum. Sampel rasmi telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.

Operasi ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan pemprosesan sisa elektronik haram yang berpotensi mencemarkan alam sekitar serta mengancam kesihatan awam.

Verified by MonsterInsights