
Ismail Sabri Akan Beri Keterangan kepada SPRM Pada Jumaat
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sepatutnya berlangsung pada hari Rabu telah ditangguhkan atas faktor kesihatan, menurut kenyataan rasmi yang disampaikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika sidang media, sesi rakaman keterangan telah dijadualkan semula pada hari Jumaat.
“Sesi merekod keterangan Datuk Seri Ismail Sabri yang dijadualkan sebelum ini telah ditangguhkan pada hari Jumaat pada jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Beliau mempunyai sijil cuti sakit (MC) disebabkan keadaan kesihatannya yang kurang baik,” kata sumber berkenaan kepada pihak media.

Siasatan Berhubung Dana Pengiklanan Kerajaan
Datuk Seri Ismail Sabri dijangka hadir untuk sesi keterangan buat kali kedua berhubung siasatan kes penggunaan dana kerajaan yang sedang disiasat oleh SPRM berkaitan program Keluarga Malaysia. Kes ini melibatkan dana pengiklanan serta promosi agenda kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM700 juta. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan dalam satu sidang media bahawa proses siasatan terhadap bekas Perdana Menteri ke 9 masih berjalan mengikut prosedur.
Maklumat Harta dan Undang-Undang Berkaitan
Pada 10 Februari lalu, Datuk Seri Ismail Sabri telah menyerahkan beberapa maklumat pengisytiharan harta kepada SPRM, sebelum keterangannya direkodkan buat kali pertama pada 19 Februari lalu. Kes ini disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sitaan Aset oleh SPRM
Dalam perkembangan terkini, SPRM turut dilaporkan telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan. Selain itu, sebanyak 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta turut dirampas. SPRM menegaskan bahawa siasatan terhadap kes ini masih berjalan, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui kenyataan rasmi pihak berkuasa.
“Artikel ini berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh SPRM dan tidak bermaksud untuk membuat sebarang kesimpulan atau tuduhan terhadap individu yang disiasat.”
One thought on “Ismail Sabri Akan Beri Keterangan kepada SPRM Pada Jumaat”
Comments are closed.