
Hukuman Sedia Ada Memadai untuk Tangani Isu Sijil Palsu
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambery Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan tidak merasakan keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi menangani isu penyalahgunaan sijil akademik palsu, kerana undang-undang sedia ada dianggap sudah mencukupi.
Beliau menekankan bahawa undang-undang yang sedang berkuat kuasa sudah mencukupi, dengan hukuman maksimum berupa denda sehingga RM200,000 atau hukuman penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi mana-mana individu atau institusi yang terbukti bersalah dalam perkara ini.
“Berhubung perubahan terhadap akta ini, saya berpandangan bahawa peruntukan yang sedia ada sudah memadai. Mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM200,000,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara.
Cadangan Audit Terbuka untuk Pegawai Tinggi Kerajaan
Dalam sesi yang sama, Datuk Seri Dr Zambry turut menyatakan persetujuan terhadap cadangan Dr Lingeshwaran R Arunasalam untuk melaksanakan audit terbuka untuk pegawai tinggi kerajaan. Cadangan ini termasuk Ahli Parlimen, senator, dan menteri bagi memastikan tiada individu yang menggunakan sijil akademik palsu.

Tiada Aduan Berkaitan Pengurniaan PhD Palsu di Malaysia
Ketika menjawab pertanyaan mengenai kewujudan kes pengurniaan ijazah Doktor Faslafah (PhD) palsu di Malaysia serta jumlah institusi yang terlibat, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu ini.
“Setakat ini, tiada maklumat mengenai jumlah individu yang menggunakan PhD palsu dalam negara. Namun, bagi kes di luar negara, pelbagai laporan telah didengar,” jelasnya.
Pengkalan Data untuk Pengesahan Kelukusan Akademik
Menurut Datuk Seri Dr Zambry, setiap universiti awam memiliki pangkalan data bagi menyimpan rekod pelajar yang telah menamatkan pengajian, termasuk graduan PhD. Data ini dihantar kepada KPT setiap suku tahun bagi tujuan pengumpulan maklumat pelajar.
Bagi meningkatkan ketelusan dan kemudahan pengesahan sijil akademik, KPT telah membangunkan portal Graduate Reference Hub for Employment and Training, yang menyimpan maklumat penerima ijazah kehormat serta ijazah kedoktoran dari universiti awam dan swasta.
“Sistem ini dikemas kini secara berkala selepas mendapat kelulusan senat universiti, dan mana-mana pihak boleh merujuk portal ini untuk tujuan sijil pengesahan akademik,” tambah beliau.
Dengan adanya peruntukan undang-undang sedia ada dan sistem pengesahan akademik yang dibangunkan oleh KPT, kerajaan yakin bahawa langkah-langkah yang diambil sudah mencukupi untuk menangani isu pengurniaan sijil akademik palsu tanpa perlu meminda Akta 555.