Scammer

Pesara Hilang RM89,000 Akibat Taktik Scammer

MUAR – Wang simpanan persaraan seorang bekas pekerja swasta sebanyak RM89,000 hilang selepas menjadi mangsa penipuan oleh sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan mahkamah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, telah membuat laporan mengenai kejadian itu semalam.

Menurut beliau, insiden bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mewakili sebuah syarikat insurans, mendakwa mangsa mempunyai tuntutan insurans.

“Mangsa menafikan perkara itu, namun dia diarahkan untuk membuat laporan polis dan panggilannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya.

Pegawai polis itu kemudiannya mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Tidak lama kemudian, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai pegawai mahkamah dan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes tersebut.

Pada 4 Disember lalu, mangsa diminta untuk pergi ke sebuah bank di bandar ini dan menukar maklumat perbankan dalam talian melalui mesin ATM. Mangsa turut diarahkan memindahkan wang simpanannya yang berjumlah RM89,000 ke akaun lain.

Raiz Mukhliz menjelaskan, pada 11 Disember, mangsa diminta membayar wang jaminan sebanyak RM38,000. Bagaimanapun, mangsa mula curiga dan menyemak akaun banknya, mendapati baki hanya tinggal RM98.67.

“Selepas menyemak transaksi perbankan dalam taliannya, mangsa menyedari wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM89,000. Mangsa yakin dia telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati, terutama dalam urusan kewangan, dan mengikuti nasihat yang dikongsikan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk mengetahui modus operandi penipuan terkini.

Verified by MonsterInsights