Arteta and Amorim

Arteta Jangka Pertembungan Epik di Piala FA

LONDON, 11 Jan – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui terkesan dengan pengaruh Ruben Amorim sebagai pengurus baharu Manchester United dan menjangka pertembungan menarik antara kedua-dua pasukan dalam pusingan ketiga Piala FA Ahad ini.

Arsenal sebelum ini memberikan kekalahan pertama kepada Amorim sejak mengendalikan United, apabila mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris bulan lalu.

Walau bagaimanapun, United, yang kini berada di kedudukan ke-13 liga, menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kemenangan 2-1 ke atas Manchester City dan keputusan seri 2-2 menentang pendahulu liga, Liverpool, minggu lalu.

“Lihat saja bagaimana mereka bermain ketika menentang pasukan besar dan keputusan yang berjaya mereka capai,” kata Arteta hari ini.

“Setiap pengurus yang dilantik pasti mempunyai alasan tertentu. Kadangkala tugas itu adalah untuk memperbaiki pasukan bola sepak, dan kadangkala untuk mengubah hala tuju keseluruhan kelab. Kedua-duanya merupakan cabaran yang sangat berbeza.”

United, yang juga juara bertahan Piala FA, mengalami empat kekalahan berturut-turut sebelum mencatat keputusan seri Ahad lalu. Mereka juga gagal menjaga gawang daripada dibolosi dalam sembilan perlawanan terakhir, manakala Arsenal pula menjaringkan 13 gol dalam lima perlawanan sebelum tewas 2-0 kepada Newcastle United dalam Piala Liga pada Selasa lalu.

Arteta turut memahami cabaran yang dihadapi Amorim dalam mendapatkan potensi penuh pasukannya.

“Ia bukan tugas mudah, kerana jelas anda memerlukan masa untuk menerapkan idea dan gaya permainan anda. Lebih-lebih lagi apabila jadual perlawanan terlalu padat, ia menjadi lebih mencabar,” katanya.

Verified by MonsterInsights