Fahmi Fadzil

Kabinet Tidak Pernah Arahkan Permohonan Gag Order – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 15 Jan – Kabinet tidak pernah memberikan arahan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengemukakan permohonan mahkamah bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) yang bertujuan menghalang perbincangan umum mengenai kes berkaitan Titah Adendum yang kini dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.

Menurut Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, pagi tadi.

“Tiada perbincangan mengenainya dalam mesyuarat Kabinet. Kabinet juga tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah gag order,” kata beliau dalam satu sidang media di kementeriannya hari ini.

Sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, dilaporkan menyatakan bahawa pendakwaan akan memfailkan permohonan perintah gag order tersebut pada Isnin hadapan.

Ketika ditanya tentang tujuan permohonan itu, Shamsul menjelaskan bahawa ia bertujuan melindungi Institusi Diraja kerana isu berkenaan menyentuh hal sensitif berkaitan raja, agama, dan kaum (3R).

Kes berkaitan Titah Adendum ini melibatkan dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah memperkenankan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. Perkara ini berkaitan kesalahan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Prosiding ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatulakmal Abdul Aziz, dengan tarikh pengurusan kes secara e-review ditetapkan pada 11 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas kenyataan bekas Menteri, Tan Sri Annuar Musa, yang meramalkan Perdana Menteri ke-11 akan muncul bersama enam bekas Perdana Menteri dalam kumpulan yang beliau gelar sebagai ‘The Magnificent Seven’.

Menurut Fahmi, kenyataan tersebut tidak wajar diulas kerana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 masih belum berlangsung.

“Pilihan raya pun belum diadakan lagi. Dia (Annuar) boleh teruskan dengan angan-angannya,” ujar Fahmi.

Pemimpin pembangkang dilihat terus membangkitkan isu berkaitan Perdana Menteri ke-11, walaupun penggal Parlimen ke-15 masih berbaki lebih kurang tiga tahun lagi.

Verified by MonsterInsights