Rafidah Aziz

Bantu Gaza Mulia, Tapi Jangan Abaikan Rakyat Sendiri – Rafidah

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz menyarankan agar kerajaan memberi fokus untuk menyelesaikan masalah dalam negara terlebih dahulu sebelum memberikan komitmen untuk membangunkan semula Gaza buat masa ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menyatakan hasrat Malaysia untuk membantu pembangunan semula Gaza. Menurut Rafidah, walaupun niat tersebut mulia, akan tetapi masih terdapat isu-isu mendesak di dalam negara yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Beliau menekankan keadaan yang Kerajaan perlu beri perhatian utama seperti sekolah-sekolah di luar bandar, kekurangan fasiliti di hospital kerajaan di kawasan pedalaman, serta keperluan untuk memperbaiki tempat ibadah.

Selain itu, Rafidah turut menyentuh isu golongan pesara, khususnya mereka yang menerima pencen bulanan tetapi masih hidup di bawah garis kemiskinan. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mempertikaikan permintaan sah golongan ini, yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Pada 24 Januari lalu, kerajaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman berkaitan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir pesara, mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.

Rafidah menegaskan bahawa pemimpin negara harus mengutamakan keperluan rakyat sendiri sebelum membantu negara lain. “Membantu dunia adalah terpuji, tetapi janganlah ia dilakukan atas kepentingan politik,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Gaza terletak di kawasan yang masih dipertikaikan hak pemilikannya. Menurutnya, sebarang usaha pembangunan semula mungkin akan sia-sia selagi tiada keputusan muktamad dari badan arbitrasi atau antarabangsa yang mengikat semua pihak.

“Selagi konflik tidak diselesaikan, pertelingkahan dan pertempuran akan berterusan, dan usaha pembangunan semula tidak akan berjaya,” jelasnya.

Rafidah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan dana kemanusiaan khas selepas konflik diselesaikan dan semua pihak menerima syarat yang ditetapkan. Beliau mencadangkan agar sektor swasta dijemput untuk menyumbang dengan insentif pelepasan cukai, sambil mengelakkan penggunaan wang pembayar cukai oleh kerajaan.

Sebelum ini, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sekolah, hospital, dan tempat ibadah sebagai langkah awal dalam membantu pembangunan semula Gaza. Perdana Menteri menyatakan bahawa usaha ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara rakyat dan sektor swasta.

Verified by MonsterInsights