Qatar Sahkan Gencatan Senjata di Gaza Bermula Esok
ANKARA, 18 Jan – Qatar mengesahkan bahawa gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bermula pada pukul 8:30 pagi esok waktu tempatan (bersamaan 2:30 petang waktu Malaysia), menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar negara itu.
Laporan dari Agensi Anadolu menyebut bahawa jurucakap kementerian, Majed Al-Ansari, mengumumkan perkara tersebut melalui platform X. “Sebagaimana yang dipersetujui dalam rundingan serta peranan pengantara, gencatan senjata di Gaza akan bermula pada pagi Ahad, 19 Januari, mengikut waktu tempatan di sana,” katanya.
As coordinated by the parties to the agreement and the mediators, the ceasefire in the Gaza Strip will begin at 8:30 a.m. on Sunday, January 19, local time in Gaza. We advise the inhabitants to take precaution, exercise the utmost caution, and wait for directions from official…
— د. ماجد محمد الأنصاري Dr. Majed Al Ansari (@majedalansari) January 18, 2025
Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga, mengambil langkah keselamatan yang diperlukan, dan menunggu sebarang pengumuman rasmi untuk perkembangan selanjutnya.
Terdahulu, Qatar mengumumkan pelan tiga peringkat bagi menghentikan konflik yang telah berlanjutan lebih 15 bulan antara Israel dan Gaza. Perjanjian ini bertujuan mengakhiri serangan ganas yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa sejak bermulanya ketegangan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sejak 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 46,900 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 110,600 mengalami kecederaan akibat serangan Israel yang dianggap sebagai tindakan genosid.
Sementara itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di wilayah yang dikepung itu.