Kritikan Tun Mahathir Pada UMNO yang Menikam Diri Sendiri?
Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencuri perhatian dengan kenyataan sinisnya yang menganggap UMNO sebagai “lalat” dalam kerajaan. Ungkapan ini bukan sahaja memperlihatkan kritikan tajamnya terhadap parti yang pernah diterajuinya selama berdekad yang lalu, malah menggambarkan ketidakpuasannya terhadap hala tuju politik semasa negara pada masa kini.
Namun, jika direnung dengan lebih mendalam, ironinya cukup ketara. Bayangkan seorang pemimpin yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang utama UMNO, kini melabel parti yang pernah disertainya suatu masa dahulu sebagai serangga yang mengganggu. Adakah ini refleksi terhadap kepimpinannya sendiri pada masa lalu atau sekadar dendam politik yang tidak berkesudahan?.
Dalam naratif Tun Mahathir, UMNO kini dilihat sebagai beban kepada kerajaan perpaduan. Namun, yang menjadi persoalan, siapakah yang sebenarnya meletakkan asas kepada budaya politik yang dikritiknya ini? Tun Mahathir bukan sekadar saksi sejarah UMNO, tetapi beliau juga adalah arkiteknya.
Jika UMNO kini diumpamakan sebagai lalat, maka siapakah yang membiakkan persekitaran yang memungkinkan kemunculan “lalat-lalat” ini? Adakah lalat itu muncul secara tiba-tiba atau sebenarnya hasil daripada warisan politik yang dibentuk oleh tangan-tangan lama?.
Dalam usaha memperkecilkan UMNO, Tun Mahathir sebenarnya membuka pekung di dada kerana beliau sendiri merupakan sebahagian besar daripada legasi yang membentuk parti tersebut.
Kenyataan sebegini juga menyerlahkan gaya politik sinis Tun Mahathir yang tidak pernah surut. Sebelum ini, beliau pernah mengkritik pemimpin-pemimpin UMNO yang dikatakan korup, lemah dan tidak berwibawa. Namun, sebahagian besar daripada mereka pernah berada dalam kabinetnya sendiri atau setidaknya mendapat dokongan daripadanya suatu ketika dahulu.
Maka, jika UMNO kini hanyalah sekadar lalat, apakah beliau tidak bertanggungjawab dalam proses evolusi yang membawa parti itu ke tahap ini? Politik Malaysia sudah terlalu lama dihiasi dengan perbalahan tidak berkesudahan, dan kenyataan sebegini hanya membuktikan bahawa dendam politik kadangkala lebih kuat daripada semangat untuk membangunkan negara.
Lebih menarik lagi, Tun Mahathir tidak hanya mengkritik UMNO, tetapi juga hampir semua pihak yang tidak sehaluan dengannya. Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Perikatan Nasional—semuanya pernah menjadi sasaran kritikannya pada satu tahap atau yang lain.
Seolah-olah, hanya beliau yang benar, manakala yang lain semuanya lemah, korup, atau tidak kompeten. Perspektif ini menimbulkan persoalan: apakah yang beliau sebenarnya mahukan? Adakah ini sekadar usaha untuk terus relevan dalam politik atau masih belum puas meninggalkan pentas kuasa?
Sebagai seorang negarawan yang pernah dianggap sebagai bapa pembangunan moden Malaysia, sepatutnya Tun Mahathir menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman luasnya untuk membimbing generasi baharu, bukannya terus-menerus melontarkan kenyataan sinis yang tidak membawa sebarang penyelesaian.
Politik Malaysia memerlukan pemikiran segar, bukan dendam lama yang diulang tayang dalam pelbagai versi. Jika benar UMNO adalah lalat, maka siapa sebenarnya yang membentuk sarangnya? Dalam mencari jawapan kepada persoalan ini, kita mungkin akan menemui kebenaran yang lebih pahit daripada sekadar sekumpulan serangga yang berkeliaran dalam pentadbiran negara. – Biswardi Hasbi