Fadillah Yusof

Insentif E-Rebat Sehingga RM4,000 Melalui Program NUR@PETRA – Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 29 Jan – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melancarkan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) dengan jumlah dana sebanyak RM70 juta. Peruntukan ini akan diperoleh daripada Kementerian Kewangan serta Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

Program NUR@PETRA merupakan kesinambungan daripada kejayaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE), yang sebelum ini hanya memberi fokus kepada pengguna elektrik domestik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, inisiatif ini diberi penjenamaan semula serta diperluaskan kepada sektor industri, komersial, dan perusahaan mikro, kecil serta sederhana (PMKS) bagi mendorong penggunaan kelengkapan elektrik yang lebih cekap tenaga.

Dalam kenyataannya hari ini, Fadillah menjelaskan bahawa program ini menyediakan tiga kategori e-rebat.

Kategori pertama dikhususkan kepada pengguna kediaman dengan insentif sehingga RM400 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk yang mendapat penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Sebanyak 200,000 unit rebat akan diberikan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.

Kategori kedua pula menyasarkan PMKS dengan bantuan e-rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk berkecekapan tinggi. Dijangka sekitar 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada insentif ini.

Sementara itu, kategori ketiga menawarkan e-rebat khusus untuk pembelian pendingin (chiller) cekap tenaga yang digunakan dalam sistem penyaman udara (comfort cooling). Lebih 300 syarikat dalam sektor industri dan komersial dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Fadillah turut memaklumkan bahawa permohonan e-rebat bagi kategori pertama akan mula dibuka pada 31 Januari, kategori kedua pada 15 Februari, manakala kategori ketiga boleh dimohon bermula 1 Mac.

Tambahnya, pelaksanaan Program NUR@PETRA dijangka dapat mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam, yang bersamaan dengan penjimatan kos sekitar RM2.23 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, program ini juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 3.0 juta tan, bergantung kepada jangka hayat serta keberkesanan operasi peralatan yang digunakan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan syarat kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model peralatan elektrik cekap tenaga yang layak di bawah program ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.seda.gov.my/nur.

Verified by MonsterInsights