Stesyen Janakuasa Tuanku Jaafar meletup

Letupan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar Gegar Port Dickson

PORT DICKSON, 14 Februari – Penduduk sekitar Port Dickson dikejutkan dengan insiden letupan dan kebakaran yang berlaku di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, malam tadi. Kejadian yang berlaku pada jam 9.09 malam itu telah dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, yang segera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, Mohd Kamal Mohd Timar, letupan yang berlaku di stesen janakuasa tersebut telah mengakibatkan kebakaran besar. Pasukan bomba dari BBP Port Dickson, dibantu oleh pasukan HAZMAT dari BBP Seremban 2 yang diketuai oleh PBKI (KUP) Sabarudin Ahmad, telah dikerahkan bagi mengawal dan memadam kebakaran tersebut.

“Operasi sedang dijalankan bagi memadamkan api yang agak besar,” kata Mohd Kamal dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu.

Pasukan penyelamat juga telah melakukan tindakan ‘size-up’ di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca letupan. Perkembangan terkini berhubung insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya mengesahkan bahawa berlaku insiden kebakaran di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar.

Menurut TNB, keadaan di lokasi kejadian berada dalam kawalan, dan pasukan teknikal telah segera dikerahkan untuk menilai situasi serta mengambil langkah bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Buat masa ini, bekalan elektrik kepada pengguna tidak terjejas dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. TNB akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Insiden ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat, dan pihak berkuasa diharap dapat mengenal pasti punca kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang sama pada masa hadapan.

Verified by MonsterInsights