Bantuan awal sekolah

Agihan Bantuan Awal Persekolahan 2025 Bermula Januari

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada 13 Januari 2025.

Bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026, pengagihan akan dijalankan mulai 16 Februari 2025, manakala murid Tingkatan 6 baharu pula akan menerima bantuan ini bermula 1 Julai 2025.

Pengagihan BAP kepada murid akan dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan beberapa kaedah, termasuk serahan tunai kepada ibu bapa (bagi sekolah rendah) atau ibu bapa/murid (bagi sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid, atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa, yang akan diperkenalkan mulai tahun 2025.

Menurut kenyataan, kerajaan melalui inisiatif MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM791,250,000 untuk pelaksanaan BAP, dengan setiap murid akan menerima bayaran sebanyak RM150 secara one-off. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara. Pada tahun ini, buat pertama kali, inisiatif BAP turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6.

“Inisiatif BAP ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga, terutamanya dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka,” jelas kenyataan tersebut.

Verified by MonsterInsights