
Budaya Politik Tidak Sihat di Dewan Rakyat Memalukan!!
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Sidang Dewan Rakyat seharusnya menjadi platform yang berwibawa untuk membincangkan dasar-dasar negara dan kepentingan rakyat. Namun, apa yang sering menjadi sorotan bukanlah hujah bernas dan perbincangan matang, sebaliknya pertelingkahan, sindir menyindir dan perbalahan yang mencerminkan budaya politik yang tidak sihat.
Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan kematangan politik ahli parlimen tetapi juga memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara. Dalam sidang Dewan Rakyat, perbahasan sepatutnya berlandaskan hujah yang kukuh, data yang sahih serta adab yang tinggi.
Namun, sering kali kita melihat wakil rakyat bertindak di luar batas profesionalisme dengan menggunakan kata-kata kesat, menyerang peribadi lawan dan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu. Sikap sebegini bukan sahaja mencemarkan institusi perundangan tertinggi negara tetapi juga memberikan contoh yang tidak baik kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang mengikuti perkembangan politik negara.
Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan ahli parlimen yang lebih cenderung kepada taktik sindiran, ejekan dan provokasi untuk menarik perhatian media dan rakyat. Tindakan ini bukan sahaja membazir masa perbahasan tetapi juga menjejaskan usaha untuk mencapai penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu negara. Ini menunjukkan bahawa budaya politik yang matang masih belum sepenuhnya menjadi amalan dalam kalangan wakil rakyat.

Apabila rakyat melihat ahli parlimen mereka lebih sibuk bertikam lidah berbanding menyuarakan isu rakyat, kepercayaan terhadap institusi politik semakin terhakis. Ini boleh mengakibatkan rakyat menjadi sinis terhadap proses demokrasi sekali gus mengurangkan penyertaan dalam pilihan raya dan aktiviti politik yang sihat.
Sidang Dewan Rakyat seharusnya menjadi medan untuk membahaskan dasar-dasar negara secara rasional dan efektif. Namun, apabila perbahasan dicemari dengan pertelingkahan tidak produktif, keputusan penting boleh tertangguh atau dibuat tanpa penelitian yang mendalam.
Akibatnya, rakyat menjadi mangsa kepada kelemahan sistem yang sepatutnya membela kepentingan mereka. Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen turut diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa.
Apabila budaya politik tidak matang terus berlaku di Dewan Rakyat, ia boleh mencemarkan reputasi negara sebagai sebuah demokrasi yang matang dan berwibawa. Negara lain mungkin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang masih bergelut dengan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang kurang profesional.
Untuk memastikan Dewan Rakyat berfungsi dengan lebih baik, beberapa langkah perlu diambil. Ahli parlimen harus diberikan latihan berkaitan etika berhujah dan komunikasi berkesan bagi memastikan perbahasan berlangsung secara profesional dan beradab. Peraturan Dewan Rakyat perlu diperketatkan bagi mengelakkan insiden tidak beradab.
Hukuman yang lebih tegas termasuk penggantungan atau penalti harus dikenakan ke atas ahli parlimen yang melanggar disiplin perbahasan. Rakyat perlu dididik mengenai kepentingan memilih pemimpin yang berkaliber dan beradab. Kempen kesedaran politik boleh dijalankan agar masyarakat lebih peka terhadap kelakuan ahli politik yang mereka pilih.
Dewan Rakyat merupakan institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara dan budaya politik yang diamalkan di dalamnya mencerminkan tahap kematangan demokrasi Malaysia. Ahli parlimen harus sedar bahawa mereka bukan sahaja bertanggungjawab terhadap penggubalan dasar tetapi juga sebagai contoh kepada rakyat.
Oleh itu, perubahan ke arah budaya politik yang lebih profesional dan matang amat diperlukan bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan berfungsi dengan efektif demi kepentingan negara dan rakyat.