Sampah

Hukuman Khidmat Masyarakat: Langkah Efektif Tangani Isu Pembuangan Sampah

TELUK INTAN, 14 Jan – Pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat terhadap individu yang didapati bersalah kerana membuang sampah secara haram atau merata-rata dilihat mampu memberikan kesedaran lebih mendalam berbanding denda wang atau kompaun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjelaskan bahawa hukuman berbentuk pembayaran wang semata-mata tidak efektif dalam mendidik pesalah, terutamanya golongan yang berkemampuan dari segi kewangan.

“Menaikkan jumlah kompaun tidak memberi kesan. Kompaun RM300 atau RM500 mudah dibayar oleh mereka, tetapi apabila diminta untuk menyapu jalan selama lima jam bersama pekerja pembersihan, barulah pesalah dapat merasai pengalaman tersebut. Ini boleh memberi pengajaran kepada mereka agar tidak mengulangi kesalahan itu.

“Sebagai contoh, hukuman yang dicadangkan ini memerlukan pesalah menjalankan kerja pembersihan seperti menyapu jalan, membersihkan tandas awam, dan mencuci longkang selama sekurang-kurangnya dua jam. Mereka juga akan memakai pakaian khas semasa melaksanakan tugas ini, supaya mereka lebih memahami betapa sukarnya pekerjaan para pekerja pembersihan,” katanya.

Nga, yang juga merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan, menyatakan perkara itu semasa menghadiri majlis pelancaran kenderaan pembersihan baharu di pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) petang semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua MPTI, Zairul Akmal Kasim, dan Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengemukakan cadangan pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di Dewan Rakyat pada Mac akan datang untuk memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat ini.

Pada 30 November lalu, Nga turut menyebut bahawa memorandum berkaitan cadangan pindaan tersebut telah dikemukakan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil ini akan dilaksanakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133], serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].

Verified by MonsterInsights