KAN turut melaporkan bahawa pihak polis akan menempatkan seramai 3,000 anggota setiap hari di pos pemeriksaan yang menuju ke Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan puasa. Selain itu, polis Israel mencadangkan hanya 10,000 permit diberikan kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki untuk memasuki Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Israel Rancang Untuk Halang Bekas Tahanan ke Masjid Al-Aqsa

GAZA, 24 Feb – Israel merancang untuk menghalang rakyat Palestin yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan daripada memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sepanjang bulan Ramadan, menurut laporan media Israel pada Ahad, seperti yang dilaporkan oleh Anadolu.

Menurut penyiar awam Israel, KAN, pihak polis tidak akan membenarkan rakyat Palestin yang dibebaskan dari penjara dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk memasuki kawasan suci tersebut semasa Ramadan, yang dijangka bermula minggu hadapan.

KAN turut melaporkan bahawa pihak polis akan menempatkan seramai 3,000 anggota setiap hari di pos pemeriksaan yang menuju ke Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan puasa. Selain itu, polis Israel mencadangkan hanya 10,000 permit diberikan kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki untuk memasuki Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Permit tersebut hanya akan diberikan kepada lelaki yang berumur lebih daripada 55 tahun dan wanita yang berumur lebih daripada 50 tahun, menurut laporan KAN.

Setiap tahun, rakyat Palestin berdepan dengan pelbagai sekatan oleh pihak Israel yang menghadkan kemasukan mereka ke Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan, di tengah-tengah ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki.

Ratusan tahanan Palestin telah dibebaskan sebagai pertukaran bagi beberapa tawanan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa bulan lalu.

Masjid Al-Aqsa merupakan tapak suci ketiga bagi umat Islam. Kaum Yahudi pula merujuk kawasan ini sebagai Temple Mount, dengan mendakwa ia adalah lokasi dua kuil Yahudi pada zaman purba.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia kemudiannya mengisytiharkan pengilhakan ke atas seluruh kota itu pada tahun 1980, tetapi tindakan ini tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah dan menggesa pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Verified by MonsterInsights