Nancy Shukri

JKM Tiada Agenda Tersembunyi, Hanya Lindungi Kanak-Kanak – Nancy Shukri

TUMPAT, 17 Jan – Ibu bapa kepada 107 kanak-kanak yang merupakan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan masih berada di lapan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran untuk mengambil semula anak-anak mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan bahawa terdapat ibu bapa yang sudah datang ke institusi berkenaan bagi menuntut anak masing-masing, namun akhirnya mengubah keputusan mereka, dipercayai akibat dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, tindakan itu mungkin dilakukan sebagai langkah untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan atas kelewatan dalam penyerahan semula anak-anak mereka.

“Tindakan tersebut tidak adil kerana sebelum ini, penyerahan anak-anak mereka tertangguh disebabkan keperluan menunggu laporan polis serta mematuhi proses undang-undang yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, saya menyeru ibu bapa yang telah mengubah fikiran supaya segera berjumpa dengan JKM dan mengambil semula anak-anak mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Integrasi Kasih Kampung Angkat Madani anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Majlis tersebut turut diadakan sempena penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat Madani di Pasir Pekan Tengah, hari ini.

Nancy turut menegaskan bahawa ibu bapa yang telah dipanggil oleh JKM sebenarnya layak untuk menjaga anak-anak mereka, justeru tidak wajar menuding jari kepada pihak kerajaan. Semua agensi berkaitan telah menjalankan tanggungjawab mereka mengikut ketetapan undang-undang.

Beliau juga menegaskan bahawa JKM tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi dalam perkara ini dan sama sekali tidak berniat untuk menahan kanak-kanak berkenaan. Sebaliknya, mereka hanya bertindak demi memastikan kebajikan dan perlindungan anak-anak itu terjaga.

“Saya berharap ibu bapa dapat mengubah cara berfikir kerana anak-anak ini amat memerlukan mereka. Fikirkanlah apa yang terbaik buat anak-anak serta diri sendiri,” ujarnya.

Verified by MonsterInsights