Nikah di Thailand

Kawalan Ketat Sempadan Kurangkan Perkahwinan Malaysia-Thailand

NARATHIWAT, 15 Jan – Bilangan pasangan dari Malaysia yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan di selatan Thailand telah berkurangan sebanyak 40 peratus sejak larangan melintasi sempadan melalui laluan tidak sah dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu.

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, menjelaskan bahawa kawalan ketat sempadan menjadi punca utama banyak pasangan Malaysia membatalkan hasrat mereka untuk ke wilayah itu.

Menurutnya, sepanjang tahun lepas, lebih daripada 300 pasangan dari Malaysia telah bernikah di sini, dengan kebanyakan mereka berasal dari Kelantan dan Terengganu.

“Namun, selepas larangan terhadap penggunaan laluan haram diperkenalkan, semakin ramai rakyat Malaysia yang tidak lagi datang ke sini. Ada juga yang memilih untuk terus ke wilayah Songkhla bagi urusan perkahwinan mereka.

“Pada tempoh sebulan dari Disember hingga awal Januari, kami mencatatkan pengurangan kira-kira 40 peratus. Jika sebelumnya, kami merekodkan empat hingga lima pasangan berkahwin setiap hari, kini hanya satu atau dua pasangan sahaja setiap hari,” katanya ketika ditemui media Malaysia.

Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa sebahagian besar lelaki Malaysia yang datang ke Narathiwat untuk bernikah bertujuan mengamalkan poligami.

“Kebiasaannya, lelaki berusia 30 tahun ke atas termasuk penjawat awam, memilih untuk berkahwin kali kedua di sini.

“Sebagai pihak yang menguruskan akad nikah, kami tidak melihat masalah selagi pasangan tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan dan membawa dokumen lengkap. Kami sentiasa cuba mempermudah proses mereka dan mengenakan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar Konsulat Malaysia di Songkhla dapat mempercepatkan proses pengesahan dokumen perkahwinan pasangan Malaysia supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh sehari.

“Ini akan membantu pasangan Malaysia mendapatkan dokumen dengan segera tanpa perlu menunggu lama,” tambahnya.

Selain itu, Abdul Aziz memberitahu bahawa seramai 30 ahli jawatankuasa telah dilantik oleh majlis agama untuk mengendalikan akad nikah bagi pasangan dari Malaysia dan Thailand.

Dalam kunjungan media tersebut, beberapa pasangan Malaysia turut dilihat melangsungkan perkahwinan di beberapa bilik di bangunan majlis agama tersebut.

Verified by MonsterInsights