Zahid Hamidi

Kerjasama Parti Penting Untuk BN Tawan Semula PRU16 – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa beberapa kerusi Parlimen dalam kategori ‘Tier II’ boleh dirampas semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjelaskan bahawa kategori tersebut merujuk kepada kawasan yang tidak berjaya dimenangi oleh parti itu dalam PRU15 tetapi menduduki tempat kedua selepas parti yang memperoleh kemenangan.

“Saya percaya bahawa kita mampu menguasai kembali kerusi dalam kategori Tier II. Tier I pula merangkumi kerusi yang telah dan masih kita pegang.

“Bagi kerusi Tier II, kita mungkin tewas sebelum ini tetapi berada di kedudukan kedua. Insya-Allah, kita akan berbincang dengan parti lain bagi mendapatkan semula kawasan ini,” katanya dalam satu rakaman audio siar Podcast Utama yang disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 baru-baru ini.

Namun begitu, beliau tidak menyatakan jumlah mahupun butiran terperinci mengenai kerusi yang tergolong dalam kategori tersebut.

Pada PRU15, BN berjaya meraih 30 kerusi Parlimen dengan 26 dimenangi oleh UMNO, dua oleh MCA, serta masing-masing satu oleh MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin serta ahli parti semakin kukuh menjelang PRU16.

“Kerjasama dan solidariti dalam parti semakin mantap. Saya percaya jika perpaduan ini dijadikan keutamaan dan menjadi aspek utama dalam pengurusan organisasi politik seperti UMNO, ia akan memberi kelebihan kepada kita.

“Tambahan pula, UMNO memiliki kekuatan tersendiri dalam penyusunan jentera pilihan raya. Kami bukan sekadar mengadakan latihan, tetapi mengamalkan prinsip ‘latihan menjadikan kesempurnaan’ (practice makes perfect), terutama dalam usaha menggerakkan pengundi keluar mengundi (GOT),” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menyentuh tentang pelancaran sekolah patriotik UMNO yang bertujuan melahirkan pemimpin muda untuk menerajui parti pada masa akan datang.

“Sekolah patriotik UMNO diwujudkan bagi mengenal pasti bakat dalam kalangan generasi X dan Y, khususnya generasi Y untuk menyertai UMNO.

“Kami menyediakan beberapa modul khas bagi membentuk kepimpinan mereka, supaya satu hari nanti mereka boleh mengambil alih tampuk kepemimpinan parti. Program ini juga melibatkan susunan kepimpinan pelapis kedua dan ketiga,” kata beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Verified by MonsterInsights