KPN Sumbang RM10,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP). Dana tersebut diperoleh hasil keputusan mahkamah dalam kes saman fitnah yang difailkan beliau terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di pejabatnya dan diterima oleh Pengarah Pengurusan, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, selaku Ahli Tetap TAWP.
Sumbangan ini adalah susulan keputusan mahkamah pada 10 Januari lalu yang mengarahkan Wan Muhammad Azri atau Papagomo sebagai defendan untuk membayar kos guaman dan prosiding mahkamah kepada Tan Sri Razarudin sebagai plaintif. Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi interlokutori dalam kes saman fitnah tersebut.
Sebagai usaha memperkukuh kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Razarudin mengambil inisiatif untuk menyumbangkan kesemua jumlah tersebut kepada Tabung Amanah Warisan Polis bagi membantu pegawai, anggota, serta anak-anak polis yang memerlukan sokongan.
“Alhamdulillah, saya telah menyumbangkan dana berjumlah RM10,000 kepada TAWP bagi membantu kebajikan pegawai, anggota, dan anak-anak polis. Saya berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak warga PDRM yang cemerlang dalam akademik, menghadapi masalah kesihatan, serta mereka yang memerlukan bantuan kewangan untuk meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon; Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah; Ketua Urus Setia KPN (Perundangan), Senior Asisten Komisioner Abd Rahman Atan; serta Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Alina Sa’ad.
Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan kepimpinan tertinggi PDRM terhadap kebajikan anggotanya, sekaligus memperkukuh nilai kebersamaan dalam institusi keselamatan negara.