Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan Sempena Tahun Baharu Cina
PETALING JAYA, 18 Jan – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui agensinya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan melaksanakan penguatkuasaan larangan terhadap kenderaan barangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Larangan ini akan dikuatkuasakan selama empat hari, iaitu pada 27 dan 28 Januari 2025 (sebelum perayaan) serta 1 dan 2 Februari 2025 (selepas perayaan).
Menurut kenyataan MOT, keputusan ini dibuat berikutan ramalan peningkatan jumlah trafik, khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan balik ke kampung halaman.
“Matlamat utama larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang boleh berlaku akibat campuran trafik antara kenderaan barangan dan kenderaan persendirian,” jelas MOT.
Selain itu, MOT memaklumkan bahawa Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan akan turut dikuatkuasakan sepanjang tempoh larangan terhadap kenderaan barangan, yang bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari 2025, bersekali dengan pelaksanaan Op Selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagi memastikan pematuhan terhadap larangan ini, JPJ akan meningkatkan penguatkuasaan di seluruh negara melalui pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain,” tambah MOT.