Martinez

Manchester United Curi Tiga Mata di Craven Cottage

Manchester United berjaya meraih tiga mata penting dalam usaha mereka mendaki carta Liga Perdana Inggeris selepas menang tipis 1-0 ke atas Fulham di Craven Cottage.

Perlawanan ini berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan gagal mempamerkan aksi berkualiti sehingga penghujung babak kedua.

Fulham lebih dominan pada separuh masa pertama, mengawal permainan dan mencipta peluang berbahaya di kawasan lawan. Mereka beberapa kali menguji Andre Onana, manakala United kelihatan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan serta sukar mengekalkan penguasaan bola.

Namun, pada babak kedua, United lebih bertenaga dan berjaya mengawal bola dengan lebih baik. Gol kemenangan akhirnya terhasil menerusi Lisandro Martinez, yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti. Bola terkena Sasa Lukic sebelum melambung melepasi jangkauan Bernd Leno dan menerjah jaring.

Satu lagi momen penting dalam perlawanan ini adalah kemasukan pemain gantian, Toby Collyer. Beliau menyelamatkan United daripada dibolosi apabila berjaya menghalang tandukan Joachim Andersen di atas garisan gol, memastikan kelebihan satu gol pelawat kekal hingga wisel penamat.

Verified by MonsterInsights