Ugut perempuan

Mangsa Cinta Media Sosial: Wanita Ditipu, Didera, dan Diugut

SUNGAI PETANI, 17 Jan – Seorang wanita yang juga anak kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk mendakwa telah menjadi mangsa penderaan fizikal dan ugutan bekas teman lelakinya selepas gagal memenuhi permintaan wang daripadanya.

Wanita berusia 39 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan itu berkata dia juga telah mengalami kerugian melebihi RM300,000 akibat ditipu oleh lelaki tersebut.

Jihan, yang merupakan seorang ibu tunggal dengan seorang anak, mendedahkan bahawa dia mengenali lelaki tersebut yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguatkuasa di Langkawi sejak tahun 2020 menerusi media sosial.

Menurutnya, pada awal perkenalan, lelaki itu kelihatan baik hati dan romantis, serta menjanjikan perkahwinan. Lelaki itu juga memberitahunya bahawa dia sedang dalam proses perceraian meskipun sudah mempunyai anak, namun ia ternyata satu penipuan.

“Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, saya memenuhi segala permintaannya termasuk membeli sebuah kereta BMW, motosikal, jam tangan berharga RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000, dan menghantar wang ke akaun banknya setiap bulan,” jelasnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jihan turut mengakui bahawa dia sering bertemu lelaki tersebut di Langkawi kerana lelaki itu bekerja di sana, malah dia juga membeli jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Namun, selepas beberapa ketika, lelaki itu mula menunjukkan sikap agresif apabila dia tidak memberikan wang seperti yang diminta. Jihan berkata, dia pernah dimaki oleh lelaki itu dan pada 10 Oktober 2023, pada jam 3.13 petang, lelaki tersebut telah mencekiknya, menyebabkan kesan lebam di mata dan kecederaan akibat ditumbuk serta dihantuk kepalanya.

“Akibat kecederaan itu, saya mendapatkan rawatan di klinik swasta di Langkawi. Selain itu, bekas teman lelaki saya turut mengugut untuk mengaibkan saya di hadapan keluarga jika saya tidak mengikut kehendaknya. Pernah juga dia mengacu pisau pada saya semasa kami bergaduh tahun lalu,” tambahnya.

Jihan memberitahu bahawa lelaki tersebut juga sering mencari kesalahan dalam hubungan mereka dan terus menghantar mesej ugutan kepadanya melalui WhatsApp. Keadaan itu menyebabkan dia tertekan dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki tersebut untuk mengelakkan gangguan lebih lanjut.

“Kerana tidak tahan lagi dan bimbang akan keselamatan diri, saya akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada hari Rabu yang lalu untuk melaporkan kejadian yang menimpa saya,” katanya yang mengakui mengambil masa yang lama untuk membuat laporan kerana takut akan keselamatannya.

Jihan kini mendapat bantuan kaunseling daripada rakannya dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas teman lelakinya kerana trauma yang dialaminya, yang telah menyebabkan tekanan perasaan yang serius.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada wanita tersebut.

Verified by MonsterInsights