MCA Johor

MCA Johor Mohon Maaf Atas Isu Hantaran Facebook

JOHOR BAHRU, 28 Jan – MCA Johor hari ini mengeluarkan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam berhubung satu hantaran di Facebook parti itu pada Ahad lalu yang didakwa menghina serta merendahkan agama Islam.

Dalam kenyataan rasmi, MCA Johor menjelaskan bahawa hantaran berkenaan dimuat naik tanpa disengajakan oleh salah seorang pentadbir Facebook mereka.

“Hantaran tersebut dibuat tanpa sebarang makluman kepada pimpinan utama MCA Johor. Individu yang bertanggungjawab berkongsi status itu merupakan bekas pentadbir yang telah lama bersara daripada pejabat MCA Johor. Dia mengakui kesilapannya kerana berkongsi kandungan daripada sumber lain yang bukan berasal daripada MCA Johor atau mana-mana pemimpin parti ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut MCA Johor, pentadbir terbabit kini telah dibuang daripada senarai akses pentadbiran Facebook parti tersebut, dan platform itu kini hanya dikendalikan oleh individu yang baharu dilantik.

“Status yang mencetuskan kontroversi itu telah pun dipadam serta-merta selepas menerima pelbagai aduan semalam,” tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, satu hantaran di akaun Facebook MCA Johor telah menarik perhatian ramai apabila ia membandingkan peruntukan kerajaan untuk rakyat Palestin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan percetakan al-Quran dengan keputusan tidak memberikan tol percuma sempena Tahun Baru Cina.

Perbandingan tersebut mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak yang mendakwa ia boleh menimbulkan salah faham serta mencipta tanggapan negatif terhadap bantuan yang disalurkan kepada umat Islam dan rakyat Palestin.

Dalam reaksi lanjut, MCA Johor menegaskan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk menyentuh sensitiviti umat Islam atau merendahkan mana-mana agama dan kaum di Malaysia.

“Kami di MCA Johor sama sekali tidak berniat untuk melukai hati mana-mana pihak, apatah lagi menghina atau memperkecilkan agama Islam atau mana-mana agama lain di negara ini,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCA Johor sekali lagi mengulangi permohonan maaf mereka kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas insiden yang berlaku dan berjanji akan lebih berhati-hati bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

Verified by MonsterInsights