
Peranan Wanita dalam Kepimpinan Perlu Ditingkatkan – PM
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru sektor swasta, khususnya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), untuk menilai semula kadar penyertaan wanita dalam jawatan kepimpinan teringgi. Beliau menegaskan bahawa penglibatan wanita dalam sektor ini masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan keseimbangan gender yang lebih adil. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah wanita yang masih rendah dalam jawatan pengurusan atasan.
“Saya telah menggesa sejak tahun lalu bahawa sektor swasta juga perlu mengambil tanggungjawab dalam hal ini. Syarikat besar, termasuk syarikat kerajaan dan GLIC, perlu menilai mengapa jumlah wanita di peringkat tertinggi masih terlalu kecil,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC).
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukry, serta Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Peningkatan Latihan Wanita dalam Sektor Awam
Seiring dengan tema sambutan pada tahun ini, Wanita Beraspirasi Membina Legasi, Anwar mengakui walaupun terdapat peningkatan lantikan wanita dalam jawatan utama bagi sektor awam (JUSA), kadar tersebut juga masih boleh diperbaiki pada masa hadapan.
“Ruang dan peluang yang mencukupi perlu diberikan kepada wanita dalam semua aspek pembangunan negara. Masih terdapat kekurangan keterlibatan mereka, termasuk dalam membuat dasar,” jelasnya.
Anwar turut menyeru setiap kementerian untuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkasakan peranan wanita.
“Perlu ada komunikasi yang lebih baik. Kita mesti memberikan peluang secukupnya kepada wanita dalam perkhidmatan awam. Walau pun beberapa tokoh wanita telah diberikan kedudukan yang lebih baik dan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang, usaha untuk meningkatkan peranan mereka harus diteruskan,” katanya lagi.
Sebagai langkah seterusnya, Perdana Menteri menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk merangka strategi berkesan dalam meningkatkan peranan wanita di setor awam agar selari dengan kemahiran dan kebolehan mereka.

Peranan Wanita dalam Politik Perlu Dipertingkatkan
Ketika berucap, Anwar menekankan bahawa penyertaan wanita dalam arena politik masih jauh daripada mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut beliau, walaupun sasaran awal adalah sekurang-kurangnya 30 peratus, jumlah wanita dalam arena politik masih sekitar 14 peratus.
“Undi wanita memainkan peranan penting dalam menentukan landskap politik negara. Oleh itu, penyertaan mereka dalam arena politik perlu diperkukuhkan,” ujarnya.
Beliau juga mengakui bahawa, meskipun terdapat usaha untuk menonjolkan calon wanita dalam parti politik, kejayaan mereka masih bergantung kepada pelbagai faktor termasuk penerimaan masyarakat dan sokongan parti.
“Parti politik perlu memberi ruang kepada wanita untuk memainkan peranan lebih besar. Ini adalah peluang bagi pemimpin wanita untuk menyuarakan tututan mereka dan memastikan parti memberikan peluang sewajarnya kepada mereka,” tambahnya.
Wujudkan Ruang Tambahan Kepada Wanita
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa, wanita harus diberikan lebih banyak ruang dan peluang dalam sektor swasta, sektor awam, dan politik. Dengan pelaksanaan dasar yang lebih inklusif dan komitmen semua pihak, penyertaan wanita dalam kepimpinan dapat ditingkatkan sejajar dengan keupayaan mereka pada masa ini. Langkah ini bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan wanita dalam negara, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih mampan dan adil.