SUHAKAM

Polis Perlu Hormati Privasi dan Hak Asasi Individu – SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa tindakan polis memeriksa telefon bimbit seseorang secara sewenang-wenangnya ketika sekatan jalan raya adalah satu pelanggaran terhadap hak asasi manusia.

Melalui satu kenyataan, SUHAKAM menyeru masyarakat untuk lebih peka terhadap hak asasi mereka, khususnya semasa berdepan dengan situasi seperti diberhentikan, disoal siasat, atau ditahan oleh pihak polis.

“Jika peranti peribadi diperiksa tanpa sebab yang kukuh, orang ramai dinasihatkan agar merekodkan lokasi kejadian, nama, dan nombor identifikasi pada pakaian seragam pegawai polis sebelum membuat aduan kepada SUHAKAM,” jelas kenyataan itu.

SUHAKAM turut menekankan keperluan bagi pegawai penguat kuasa menjalankan sekatan jalan raya dengan penuh tanggungjawab, berhati-hati, dan mengikut undang-undang.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden di mana tindakan polis memeriksa telefon bimbit individu dipertikaikan oleh orang ramai. Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan bahawa polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit berdasarkan syak wasangka yang munasabah.

Beliau merujuk kepada peruntukan undang-undang seperti Seksyen 23(1) dan 116B Kanun Prosedur Jenayah (CPC), serta Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan Akta Polis 1967. Menurut beliau, penggeledahan tanpa waran boleh dilakukan sekiranya pegawai percaya bahawa kelewatan mendapatkan waran akan menjejaskan siasatan.

Dalam pada itu, SUHAKAM turut menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara tersebut.

“SUHAKAM berasa bimbang terhadap kenyataan bahawa pegawai berpangkat inspektor atau lebih tinggi mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit individu di sekatan jalan raya berdasarkan peruntukan undang-undang. Namun, mengikut Seksyen 116B CPC, akses kepada telefon bimbit atau peranti digital lain hanya dibenarkan dalam konteks siasatan yang sah dan dengan alasan munasabah bahawa kesalahan telah atau sedang berlaku.

“Begitu juga, Seksyen 247 dan 248 Akta Komunikasi dan Multimedia memerlukan carian dan penyitaan peranti digital dilakukan hanya jika ia berkait dengan siasatan yang sedang berjalan,” katanya.

Bagi memastikan orang awam lebih memahami hak mereka, SUHAKAM menyarankan agar merujuk buku panduan “Polis dan Hak Asasi Anda” yang diterbitkan oleh Majlis Peguam Malaysia.

“Buku ini memberi panduan tentang tindakan yang boleh diambil oleh individu dalam pelbagai situasi yang melibatkan pihak polis,” tambahnya.

Aduan kepada SUHAKAM boleh disalurkan melalui emel complaints@suhakam.org.my atau melalui laman web rasmi di aduan.suhakam.org.my.

Verified by MonsterInsights