
Razman Zakaria Dakwa Hannah Yeoh Anak Pengasas YTL
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menafikan tuduhan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Ahli Parlimen Segambut itu menjelaskan bahawa tidak semua individu yang memiliki nama Yeoh berkait dengan syarikat konglomerat tersebut.
Razman, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, sebelum ini mendakwa bahawa Hannah berasal daripada keluarga berada serta merupakan anak kepada pengasas syarikat itu.
Kumpulan YTL, yang ditubuhkan oleh mendiang Tiong Lay pada tahun 1995, pada mulanya bergiat aktif dalam bidang pembinaan sebelum berkembang ke pelbagai industri lain.
Kini, ia merupakan antara syarikat utama yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan penglibatan dalam sektor tenaga, perhotelan, pembangunan hartanah, dan telekomunikasi.
Kenyataan Hannah di media sosial mendapat perhatian ramai, dengan sebahagian pengikutnya menyarankan beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman kerana dakwaan yang tidak berasas itu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Dr Siti Mastura Muhammad, telah menyelesaikan bayaran sebanyak RM830,034.75, termasuk ganti rugi, kos guaman, serta faedah kepada beberapa pemimpin veteran DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok.
Pembayaran itu dibuat selepas beliau kalah dalam kes saman fitnah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember lalu.
Pada akhir tahun lalu, Razman juga pernah membuat permohonan maaf kepada Nga Kor Ming setelah didapati membuat kenyataan fitnah yang mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibarkan bendera negara China.
Selain itu, beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, selepas mengeluarkan kenyataan dalam satu perhimpunan di Dataran Menara Condong yang menimbulkan rasa kurang senang kepada Saarani.