Tembakan Maut di Taman Setia Indah, Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 9 Jan – Sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai merakam kejadian tembakan di hadapan sebuah restoran di Taman Setia Indah, di sini, tengah hari tadi telah tular di media sosial.
Turut tersebar ialah gambar tangkap layar seorang lelaki memakai topi keledar, berbaju biru muda, dan membawa beg.
Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek (mangsa) sedang berjalan sambil menggunakan telefon bimbit di hadapan premis tersebut sebelum didatangi seorang lelaki bertopi keledar.
Suspek yang memakai topeng muka dilihat melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga menyebabkan mangsa rebah.
Selepas kejadian, suspek dilaporkan melarikan diri. Mangsa, seorang lelaki tempatan, disahkan meninggal dunia selepas ditembak di kawasan bangunan kedai di Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah, sekitar jam 12 tengah hari.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa keluar untuk makan tengah hari bersama seorang rakannya.
Pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tembakan pada tubuh lelaki berusia 40 tahun itu, yang meninggal dunia akibat tembakan di lokasi kejadian.