Satu insiden tragis berlaku di wilayah Chachoengsao, Thailand, di mana seorang lelaki yang mencari isterinya yang hilang menemui wanita tersebut telah meninggal dunia bersama kekasihnya dalam sebuah kereta di wilayah tersebut.

Tragis: Suami Temui Isteri Mati Bersama Kekasih

BANGKOK, 18 Feb – Satu insiden tragis berlaku di wilayah Chachoengsao, Thailand, di mana seorang lelaki yang mencari isterinya yang hilang menemui wanita tersebut telah meninggal dunia bersama kekasihnya dalam sebuah kereta di wilayah tersebut.

Menurut laporan portal Thaiger, pegawai dari Balai Polis Mueang Chachoengsao menerima panggilan sekitar jam 9 pagi mengenai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Isuzu MU-X berwarna putih yang mencurigakan di Jalan Nombor 304, daerah Mueang.

Seorang pejalan kaki melaporkan terdapat lubang tembakan di tingkap tempat duduk penumpang kiri kenderaan tersebut.

Setelah memeriksa kenderaan itu, polis menemui mayat seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, Chatchai Hongcharoen, dan seorang wanita bernama Natticha, 26 tahun.

Chatchai, yang merupakan Ahli Majlis Perbandaran Daerah Kecil Plaeng Yao, ditemui di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepalanya dan masih memegang pistol Sig Sauer 9mm. Natticha pula ditemui di tempat duduk penumpang dengan luka tembakan di kepala kanannya.

Sebelum kejadian, Natticha dilaporkan hilang oleh suaminya, Thitiwat, 23 tahun, di Balai Polis Plaeng Yao pada 16 Februari.

Thitiwat memaklumkan bahawa isterinya meninggalkan rumah dengan kenderaan SUV pada pagi tersebut dan tidak pulang. Beliau bimbang kerana isterinya memakai rantai dan gelang emas, serta khuatir menjadi mangsa rompakan.

Dalam video yang dikongsi oleh Saluran 7, Thitiwat dilihat berada di tempat kejadian di mana mayat isterinya ditemui. Beliau kelihatan menangis dan memerlukan sokongan rakan untuk menenangkan diri sementara polis meneruskan siasatan.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan punca sebenar kejadian dan motif di sebalik insiden tragis ini.

Verified by MonsterInsights