UzmaSAT-1

Uzma Berhad Lakar Sejarah Lancar Satelit Pemerhatian Bumi Pertama

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Uzma Berhad melakar sejarah baru dengan pelancaran satelit pemerhatian bumi pertama syarikat itu, UzmaSAT-1, pada jam 3.09 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat. Pelancaran itu dilakukan menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Mohammad Fadhli Jamaluddin, memaklumkan bahawa UzmaSAT-1 kini berada di orbit rendah bumi pada ketinggian sekitar 500 kilometer. Satelit ini mampu menghasilkan imej beresolusi tinggi dengan resolusi ruang 50 hingga 70 sentimeter, membolehkan pengesanan objek kecil seperti kenderaan dilakukan dengan jelas.

“Sebagai salah satu daripada 25 satelit milik rakan teknologi Uzma, Satellogic, UzmaSAT-1 membolehkan pemerhatian dilakukan sehingga lima kali sehari di lokasi yang sama,” jelasnya semasa Majlis Pelancaran UzmaSAT-1 di Menara Uzma.

Dilengkapi Kamera Canggih

Satelit ini dilengkapi kamera berteknologi tinggi yang mempunyai sensor jalur multi-spectral, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat. Sensor-sensor ini berupaya menyediakan data terperinci untuk pelbagai aplikasi.

“Sensor RGB menghasilkan imej yang boleh dilihat dengan mata kasar, manakala sensor inframerah mampu mengenal pasti elemen seperti klorofil pada tumbuhan dan kelembapan tanah, yang tidak dapat dikesan secara langsung,” tambah beliau.

Menyokong Pelbagai Sektor

Menurut Fadhli, satelit tersebut direka untuk menyokong pelbagai sektor di Malaysia seperti pertanian, perladangan, pengurusan bencana, dan pemantauan alam sekitar.

“Dalam industri pertanian padi, UzmaSAT-1 mampu menilai kesuburan tanaman, mengenal pasti tanaman yang segar atau berpenyakit, serta meramal hasil tuaian dengan lebih tepat,” katanya.

Selain itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menggunakan data daripada UzmaSAT-1 untuk membantu syarikat perladangan mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (Sustainability Palm Oil Certification), yang berpotensi meningkatkan nilai jualan sawit di pasaran.

Pemantauan Banjir dan Laluan Selamat

Di samping sektor pertanian dan perladangan, satelit ini juga membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran jelas kawasan terjejas akibat banjir. Data daripada satelit dapat membantu mengenal pasti laluan selamat serta lokasi yang sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan.

Sumbangan kepada Ekonomi dan Teknologi

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad, percaya bahawa usaha ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi Malaysia dan dunia.

“Berpindah daripada industri minyak dan gas kepada teknologi angkasa, pelancaran ini akan mencetuskan revolusi dalam ekonomi Malaysia. Tambahan pula, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, negara kita dapat menawarkan diplomasi teknologi kepada negara-negara ASEAN,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim, turut memuji langkah Uzma Berhad yang melabur dalam pembangunan teknologi.

“Kami sentiasa menyokong kerjasama antara sektor awam dan swasta. Pelaburan teknologi seperti ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan teknologi negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan masa depan,” ujar beliau.

Verified by MonsterInsights