Apa Motif Charles Hector berkaitan 1MDB & Riza Aziz?
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Charles Hector nampaknya begitu ghairah dalam mencari peluang untuk menyerang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, berhubung keputusan 1MDB menarik balik saman terhadap Riza Aziz dan syarikat Red Granite.
Namun, di sebalik keghairahannya itu, adakah beliau benar-benar seorang pejuang keadilan atau sekadar bermain retorik murahan untuk menghangatkan sentimen politik? Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh portal Malaysiakini, Hector dengan lantang menuduh Anwar sebagai seorang yang ‘paling pemaaf’ dan menyoal tindakan kerajaan dalam menarik balik saman ini.
Namun, di manakah beliau ketika kerajaan sebelum ini juga berunding dalam kes yang sama? Di mana suara lantangnya ketika beberapa tokoh yang jelas terpalit dengan skandal ini diberi layanan istimewa dalam era pemerintahan terdahulu? Adakah prinsip keadilannya hanya muncul apabila Anwar yang berada di tampuk kuasa?
Lebih lucu, Hector seolah-olah menganggap bahawa Perdana Menteri boleh mencampuri urusan badan kehakiman dan institusi perundangan sesuka hati. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan pemisahan kuasa? Jika Anwar mengarahkan mahkamah atau peguam negara untuk menarik balik saman, sudah pasti beliau akan dituduh menyalahgunakan kuasa.
Namun, apabila keputusan dibuat melalui proses perundangan yang sah, Hector pula mendesak Anwar untuk bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini. Di manakah logiknya tindakan peguan dan aktivis hak asasi manusia ini?
Hector juga cuba mencipta persepsi bahawa wang hasil jenayah 1MDB tidak dikembalikan sepenuhnya. Namun, kenyataan rasmi pihak berkuasa menunjukkan bahawa wang tersebut telah berjaya diperoleh kembali oleh Kerajaan melalui pelbagai proses penyelesaian.
Jika beliau mempunyai bukti kukuh bahawa wang itu tidak dikembalikan, mengapa tidak mengemukakan bukti tersebut kepada mahkamah? Atau adakah ini sekadar permainan politik untuk mengekalkan relevansinya di mata segelintir penyokong yang mudah termakan dengan propaganda kosong?
Tindakan Hector yang seakan-akan mahu menjadi ‘hakim rakyat’ dalam isu ini amat menggelikan hati. Beliau bukan sahaja mahu Anwar melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan, malah mencadangkan supaya jawatankuasa khas parlimen menyiasat keputusan ini.
Ironinya, di mana beliau ketika kes-kes lain sebelum ini ditutup dengan penuh tanda tanya? Adakah ini satu lagi contoh ‘selective outrage’ daripada seorang yang kononnya memperjuangkan keadilan? Jika benar Hector mahu memperjuangkan keadilan, beliau seharusnya bersikap adil dalam semua kes dan tidak hanya menyerang pihak tertentu mengikut kecenderungan politiknya.
Jika keadilan yang dicari, mengapa tidak turut mengkritik kerajaan sebelum ini yang turut terlibat dalam membuat keputusan berkaitan kes ini? Atau adakah beliau hanya mencari peluang untuk menjadi jaguh murahan dalam politik semasa?
Hakikatnya, retorik seperti ini tidak lebih daripada gimik politik yang cuba dimainkan oleh mereka yang masih hidup dalam nostalgia lama dan enggan menerima hakikat bahawa dunia bergerak ke hadapan. Jika kita mahukan keadilan sejati, biarlah ia ditegakkan melalui proses yang adil dan bukannya melalui jeritan kosong yang penuh dengan hipokrasi seperti yang dipamerkan oleh Charles Hector.