Anak Dr Mahathir Isytihar Harta Lebih RM1 Bilion – SPRM
PUTRAJAYA, 21 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan bahawa dua orang anak kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, telah membuat pengisytiharan harta kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki, menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan aset yang diisytiharkan oleh Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir melebihi RM1 bilion.
“Mereka berdua telah menyerahkan pengisytiharan harta secara langsung kepada saya, kerana saya yang mengeluarkan notis atau waran bagi tujuan tersebut.
“Secara keseluruhan, Mokhzani mengisytiharkan aset bernilai kira-kira RM1 bilion, dengan nilai peribadinya dianggarkan sekitar RM360 juta. Baki jumlah tersebut melibatkan aset lain, pegangan saham, serta liabiliti yang telah diambil kira.
“Bagi Mirzan pula, jumlah keseluruhan aset yang diisytiharkan adalah RM246.2 juta, dengan bahagian nilai peribadinya sekitar RM120 juta. Nilai selebihnya merangkumi saham serta aset setelah mengambil kira tanggungan liabiliti mereka,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurut Azam, SPRM masih menjalankan siasatan dan sedang meneliti butiran lanjut berkaitan aset yang telah diisytiharkan oleh kedua-dua individu terbabit.
Pada 18 Januari tahun lalu, notis telah diserahkan kepada Mokhzani dan Mirzan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, yang mengkehendaki mereka mendedahkan semua aset yang dimiliki.
Sebulan selepas itu, mereka mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai untuk memahami situasi mereka serta memberi masa untuk mereka mengumpulkan maklumat berkaitan harta yang telah dikumpul sepanjang 43 tahun.
Pada 24 Mei, mereka dilaporkan telah memohon lanjutan tarikh akhir daripada SPRM bagi menyelesaikan proses pengisytiharan harta selepas lanjutan terdahulu diberikan.
Terdapat juga laporan bahawa Mokhzani sedang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam perkembangan lain, Azam turut mengesahkan bahawa SPRM sedang meneliti aset yang dimiliki oleh keluarga Allahyarham Daim Zainuddin di luar negara.