Lima Pegawai Bank Direman SPRM, Disyaki Terima Rasuah
PUTRAJAYA, 21 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lima lagi pegawai institusi perbankan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah.
Menurut sumber, kesemua individu terbabit dipercayai menerima suapan sebagai balasan memudahkan proses kelulusan pinjaman peribadi yang dipohon oleh sebuah firma perunding kewangan.
Difahamkan, empat daripada mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, berusia antara 30 hingga 40-an, dikenakan perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu. Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an direman selama tiga hari sehingga Khamis.
“Perintah tahanan reman terhadap semua suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi,” ujar sumber berkenaan pada Selasa.
Menurutnya lagi, kelima-lima individu terbabit telah ditahan antara jam 3 petang hingga 7 malam pada Isnin sewaktu mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Tambahnya, siasatan dijalankan susulan beberapa aduan yang diterima mengenai pegawai institusi kewangan yang dipercayai membantu meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan dengan kerjasama syarikat perunding kewangan berkenaan.
Dakwaan juga menyebut bahawa pegawai terlibat menerima rasuah daripada syarikat tersebut yang menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu bagi tujuan permohonan pinjaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan lima individu berkenaan dan memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mendedahkan bahawa 16 individu yang sebelum ini telah ditahan reman telah pun dibebaskan dengan jaminan SPRM.