Anak Saya Tidak Terlepas Dari Proses Undang-Undang – Saifuddin Nasution
SEPANG, 11 Jan – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa anaknya tidak terlepas dari undang-undang dan sekiranya terdapat laporan mengenai sebarang kesalahan, pihak polis bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan dengan adil dan telus.
Saifuddin menjelaskan, merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kertas siasatan bagi kes tersebut telah diselesaikan dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Biarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya, saya percaya tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, termasuk anak saya sendiri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Pada Khamis lalu, media melaporkan bahawa polis telah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah yang melibatkan anak seorang menteri Kabinet, yang menjadi tular di media sosial sejak Rabu.
Menurut Ketua Polis Negara, siasatan tersebut telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin untuk tindakan lanjut mengikut perundangan yang berkuat kuasa.
Razarudin menegaskan bahawa tindakan ini membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihak polis telah mengambil kenyataan daripada semua individu yang terlibat dalam kes tersebut.
“Kertas siasatan ini telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Januari, selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu,” tambahnya.