FAM dan MFL Perkasa Pengadil Tempatan Dengan Latihan VAR
KELANA JAYA, 4 Feb – Latihan Video Bantuan Pengadil (VAR) Fasa 2A/B bagi kumpulan kedua pengadil telah bermula pada 3 Februari 2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Program ini dijadualkan berlangsung sehingga April 2025 dan merupakan inisiatif bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk meningkatkan bilangan pengadil berkelayakan VAR di negara ini.
Latihan ini melibatkan seramai 21 pengadil yang akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 penolong pengadil sebagai Penolong Video Bantuan Pengadil (AVAR), dan 12 individu sebagai Pengendali Ulangan (Replay Operator).
Menariknya, kali ini tiga pengadil wanita turut serta dalam program ini, iaitu Cik Nurul Ain Izzatty Binti Zainal sebagai Pengadil VAR, serta Cik Nur Akmal Binti Anuar dan Cik Munirah Ha Ali sebagai AVAR. Ketiga-tiga mereka diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’.
Latihan Kumpulan Kedua Pengadil VAR | Februari-April 2025
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 4, 2025
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menjalankan latihan Video Assistant Referee (VAR) Fasa 2A/B bagi kumpulan kedua pengadil VAR yang telah bermula semalam, 3 Februari hingga April 2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya. pic.twitter.com/z1tqrkeqh0
Latihan Fasa 2A/B ini memberi penekanan kepada penggunaan simulator VAR dengan menggunakan 150 klip video yang diiktiraf oleh FIFA bagi setiap pengadil. Pendekatan ini bertujuan memastikan pengadil memahami protokol VAR dengan konsep ‘minimum interference, maximum benefits’ tanpa mengganggu kelancaran perlawanan.
FAM dan MFL komited dalam memastikan pelaksanaan VAR di Liga Malaysia selaras dengan protokol yang ditetapkan oleh FIFA. Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan mutu pengadilan dan mengurangkan kesilapan dalam perlawanan, seterusnya memajukan standard bola sepak negara.
Dengan pelaksanaan latihan ini, diharapkan lebih ramai pengadil berkelayakan VAR dapat dilahirkan, sekaligus memperkukuhkan integriti dan profesionalisme dalam arena bola sepak Malaysia pada masa akan datang.