Bot penumpang

APMM Tahan Bot Penumpang Kerana Langgar Syarat Lesen

MELAKA, 21 Jan – Sebuah bot yang membawa penumpang telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cawangan Melaka dan Negeri Sembilan kerana disyaki melanggar syarat lesen di perairan Melaka, petang semalam.

Menurut Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, bot tersebut dikesan oleh pasukan penguat kuasa semasa rondaan rutin pada sekitar jam 6 petang. Bot itu berada kira-kira 1.3 batu nautika di barat daya Tanjung Kling ketika pemeriksaan dijalankan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati bot ini dikendalikan oleh seorang lelaki berusia 34 tahun yang sedang membawa beberapa individu untuk aktiviti memancing,” jelasnya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan telah melanggar syarat lesen kerana menggunakan enjin jenama Yamaha, sedangkan lesen bot yang sah menyatakan ia sepatutnya menggunakan enjin jenama Mercury.

“Berikutan pelanggaran ini, individu terbabit telah ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, dan bot berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Mohd Khairi turut mengingatkan semua pengusaha bot penumpang agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk memastikan dokumen dan lesen yang dimiliki adalah sah serta bersesuaian dengan keadaan sebenar bot mereka.

“Kami akan menyiasat lebih lanjut mengenai pertukaran enjin ini kerana ia boleh memberi kesan kepada perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Oleh itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan demi memastikan keselamatan penumpang serta pematuhan undang-undang di perairan negara,” katanya.

Verified by MonsterInsights