OKU mental

Keluarga OKU Mental Enggan Tarik Balik Kes Serangan

KUALA TERENGGANU, 21 Jan – “Kami sekeluarga tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertindak ganas terhadap suami saya, walaupun ada pihak cuba menghubungi kami untuk berbincang dan berdamai.

“Buat masa ini, kami belum bersedia untuk bersemuka atau menyelesaikan perkara ini tanpa melalui proses perundangan,” kata Faridah Abdul Karim, 44, ketika ditemui hari ini.

Faridah ialah isteri kepada Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang menjadi mangsa serangan sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, pada hari Jumaat lalu.

Suri rumah yang berniaga ikan di Bandar Baharu Kampung Bukit Mentok, Chukai itu menegaskan bahawa mereka tidak akan menarik semula laporan polis yang dibuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tindakan sekumpulan peniaga dan pengunjung pasar tani itu dianggap keterlaluan kerana suaminya telah beberapa kali memohon maaf sebelum kejadian menjadi semakin buruk.

“Sehingga kini, kami sekeluarga belum sanggup menonton rakaman video kejadian suami saya dipukul yang tersebar luas di media sosial.

“Setiap kali melihatnya, perasaan marah dan sedih menyelubungi diri apabila mengenangkan bagaimana suami saya diperlakukan dengan kejam, seolah-olah dia bukan manusia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, di sini.

Faridah turut berkongsi bahawa keadaan suaminya yang kini menerima rawatan di pusat psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semakin stabil dan keluarga telah dibenarkan untuk melawatnya.

“Suami saya bukan seorang yang agresif, malah dia seorang yang penyayang terhadap keluarga dan anak-anak, walaupun kadangkala gemar membebel,” katanya.

Tambahnya, walaupun menghadapi masalah kesihatan mental, suaminya sangat baik hati, tidak pernah meninggalkan solat dan gemar bersedekah. Malah, dia dikenali ramai termasuk dalam kalangan peniaga pasar tani yang berlangsung setiap hari Jumaat.

Mengulas mengenai dakwaan seorang peniaga mi yang menuntut ganti rugi sebanyak RM10,000 seperti yang tular di media sosial, Faridah menyifatkan jumlah itu tidak masuk akal kerana hanya disebabkan dua kuali mi goreng yang terbalik.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut hadir untuk bertemu dan memberi sokongan kepada keluarga Ahmad Nor Al Faizan hari ini.

Verified by MonsterInsights