
ASEAN dan BRICS Perlu Perkukuh Kerjasama Strategik
KUALA LUMPUR, 11 Apr – Tindakan terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan tarif ke atas pelbagai barangan import, termasuk tarif setinggi 145% ke atas barangan dari China , telah mencetuskan kebimbangan global terhadap peningkatan gelombang proteksionisme. Langkah ini bukan sahaja menjejaskan perdagangan dua hala antara kuasa besar, malah memberi kesan berantai kepada negara-negara membangun lain yang bergantung kepada perdagangan bebas dan pasaran terbuka. ASEAN dan BRICS wajar mengambil langkah dan tindakkan segera untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi yang lebih mencabar pada masa ini.
Kekuatan Kolektif ASEAN dan BRICS dalam Landskap Ekonomi Dunia
ASEAN, dengan gabungan 10 negara dan jumlah penduduk sekitar 676.6 juta orang (data ASEANStats 2023), menyumbang lebih USD 3.6 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, menjadikannya blok ekonomi kelima terbesar dunia. BRICS pula — terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan empat ahli baharu iaitu Mesir, Iran, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu — mewakili lebih 40% populasi dunia atau kira-kira 3.3 bilion orang.
Berdasarkan Pariti Kuasa Beli (PPP), gabungan BRICS kini menyumbang kira-kira 35% daripada KDNK global, menurut IMF, ia telah melepasi G7 yang menyumbang sekitar 30%. Ini menunjukkan peningkatan pengaruh ekonomi negara-negara membangun dalam sistem global, namun sinergi antara ASEAN dan BRICS masih belum dimanfaatkan secara menyeluruh.
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan BRICS (ABFTA)
ASEAN telah membina kejayaan melalui perjanjian perdagangan seperti RCEP (yang merangkumi China dan beberapa anggota BRICS) serta AFTA. Sebagai langkah ke hadapan, ASEAN dan BRICS boleh meneroka Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–BRICS (ABFTA) untuk menurunkan tarif, memudahkan prosedur kastam, dan menyeragamkan piawaian teknikal. Menurut kajian oleh UNCTAD, penurunan tarif serantau boleh meningkatkan perdagangan intra-blok sehingga 10-15% dalam tempoh lima tahun. Ini akan membuka akses pasaran antara kedua-dua blok serta memberi manfaat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mewakili lebih 90% perniagaan di ASEAN.

Pengukuhan Rantaian Bekalan Serantau
Krisis pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik seperti perang di Ukraine, Palestin-Israel dan ketegangan AS–China telah menunjukkan betapa pentingnya rantaian bekalan yang tahan lasak dan pelbagai sumber. ASEAN dan BRICS boleh menubuhkan jawatankuasa bersama yang merancang integrasi rantaian bekalan dalam sektor utama seperti:
- Tenaga dan mineral kritikal: Rusia, Brazil dan Iran boleh menjadi pembekal utama kepada negara ASEAN dalam sumber nadir bumi, gas asli dan minyak mentah.
- Semikonduktor dan elektronik: Malaysia, China dan India boleh menerajui pembangunan ekosistem pengeluaran cip dan teknologi pemprosesan.
- Pertanian dan keselamatan makanan: Brazil, Indonesia dan Vietnam boleh bekerjasama untuk membangunkan rizab makanan serantau serta teknologi pertanian pintar.
Perluasan Peranan New Development Bank (NDB)
New Development Bank (NDB), yang ditubuhkan oleh BRICS pada 2014 dengan modal awal USD 50 bilion, boleh diperluaskan peranannya ke Asia Tenggara dengan membuka cawangan serantau. NDB telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih USD 32 bilion setakat 2023 dalam pelbagai projek infrastruktur, air bersih dan tenaga hijau. Indonesia dilaporkan sedang dalam proses menyertai NDB secara rasmi, menandakan permulaan hubungan kewangan lebih erat antara ASEAN dan institusi kewangan BRICS. NDB juga boleh memainkan peranan dalam membantu ASEAN membiayai inisiatif seperti ASEAN Power Grid dan kereta api rentas sempadan.
Kerjasama Inovasi dan Teknologi Rentas Blok
Gabungan ASEAN–BRICS boleh menubuhkan platform kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), automasi industri, fintech dan kesihatan awam. Penubuhan hab inovasi bersama seperti “BRICS–ASEAN Digital Innovation Hub” akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital. Pertukaran pengetahuan, program pertukaran pelajar dan biasiswa bersama juga akan membantu membangunkan modal insan serta memperkukuh kapasiti teknologi tempatan.
Peningkatan Penggunaan Mata Wang Tempatan dan Inisiatif De-dolarisasi
BRICS telah memulakan langkah mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS dengan memperkenalkan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan melalui sistem seperti BRICS Pay dan cadangan pembentukan mata wang digital BRICS. ASEAN boleh mengambil bahagian dengan memperluas penggunaan mata wang seperti yuan (CNY), rupee (INR) dan ringgit (MYR) dalam perdagangan dua hala. Bank pusat negara-negara ASEAN dan BRICS boleh mewujudkan rangka kerja penukaran mata wang rentas negara secara langsung bagi mengurangkan risiko pertukaran serta menggalakkan kestabilan monetari serantau.
Membina Blok Ekonomi Baharu (ASEAN dan BRICS) yang Seimbang dan Berdaya Saing
Dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu dan semakin terpolarisasi, gabungan kekuatan ASEAN dan BRICS mampu membentuk satu blok ekonomi baharu yang lebih seimbang, inklusif dan lestari. Kerjasama strategik yang disusun semula ini penting bukan sahaja untuk memanfaatkan peluang pasaran baharu, tetapi juga untuk memberikan suara kolektif yang lebih lantang bagi negara-negara membangun dalam forum antarabangsa seperti WTO, IMF dan PBB. Ia juga boleh menjadi pencetus kepada pembaharuan sistem kewangan dan perdagangan global yang lebih adil.
Tindakan harus diambil segera — bukan sekadar sebagai reaksi terhadap dasar luar AS, tetapi sebagai pelan induk jangka panjang demi menjamin kedaulatan ekonomi, kestabilan serantau dan kemakmuran bersama yang mampan.
One thought on “ASEAN dan BRICS Perlu Perkukuh Kerjasama Strategik”
Comments are closed.