Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan Parlimen tergantung, Malaysia menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), GPS, GRS serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Perpaduan Bukan Ancaman Melayu-Islam

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan Parlimen tergantung, Malaysia menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), GPS, GRS serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Walaupun kerjasama ini dimeterai atas titah dan kebijaksanaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang lalu demi kestabilan negara, PAS dan Perikatan Nasional (PN) terus mengulang naratif dangkal bahawa “undi UMNO/BN adalah undi untuk DAP”.

Naratif ini bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah direka untuk menanam kebencian dan ketakutan dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi Melayu-Islam. Ia merupakan sebahagian daripada strategi propaganda jangka panjang untuk melemahkan legitimasi kerajaan perpaduan yang sah.

Asal Usul Propaganda ‘Undi UMNO/BN Dapat DAP’

Dakyah ini timbul hasil manipulasi sentimen kaum dan agama yang telah lama menjadi senjata politik pihak tertentu. PAS dan PN, terutamanya melalui media sosial dan ceramah akar umbi, mengulangi mesej ini secara konsisten dan sistematik. Mereka memainkan persepsi bahawa dengan UMNO bekerjasama dengan PH yang diterajui DAP, maka Melayu akan hilang kuasa politik, Islam akan terancam, dan negara akan dikuasai oleh ‘musuh’ bangsa.

Namun, fakta sejarah membuktikan bahawa PAS sendiri pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat antara tahun 2008 hingga 2015. Dalam tempoh itu, PAS bukan sahaja bersama DAP dalam satu pakatan, malah duduk semeja membincangkan dasar dan strategi pilihan raya bersama.

Malah, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri pernah mengiktiraf kerjasama dengan DAP sebagai sebahagian daripada keperluan politik untuk menumbangkan Barisan Nasional pada ketika itu. Adakah DAP pada waktu itu tidak ‘merbahaya’? Atau adakah pendirian PAS berubah hanya apabila DAP tidak lagi menguntungkan mereka secara politik?

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan Parlimen tergantung, Malaysia menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), GPS, GRS serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Perpaduan: Hasil Titah Agong dan Keperluan Negara

Perlu ditegaskan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan bukanlah hasil rundingan biasa antara parti politik, tetapi datang selepas perkenan dan titah DYMM Yang di-Pertuan Agong pada 24 November 2022. Seri Paduka Baginda menitahkan semua parti agar mengenepikan perbezaan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.

UMNO dan BN, walaupun tidak mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, memilih untuk bersama dalam gagasan perpaduan sebagai langkah tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Dalam struktur kerajaan perpaduan, tidak wujud dominasi mutlak oleh mana-mana parti. Setiap dasar dan keputusan adalah hasil rundingan antara komponen-komponen parti kerajaan.

Sebagai contoh, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah menegaskan bahawa kedudukan Islam, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu kekal terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Retorik PAS dan PN: Politik Tanpa Alternatif

Apa yang lebih membimbangkan ialah pendekatan yang dibawa oleh PAS dan PN yang gagal membawa agenda dasar konkrit kepada rakyat. Di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis isu asas seperti bekalan air bersih, kemiskinan, peluang pekerjaan dan pelaburan asing masih membelenggu rakyat.

Sebaliknya, PAS dan PN memilih untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menanam ketakutan terhadap DAP dan menyebarkan teori konspirasi seperti ‘Malaysia akan jadi negara republik’, ‘hak dan keistimewaan orang Melayu akan terhapus’ atau ‘agama Islam di negara ini akan terancam’.

Propaganda ini bukan sahaja tidak berasas, malah bertentangan dengan realiti pentadbiran negara sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan. Malah, statistik bajet menunjukkan peningkatan peruntukan kepada institusi Islam, pembinaan masjid, pendidikan agama dan pembangunan pusat tahfiz.

Fakta dan Realiti Pentadbiran Kerajaan Perpaduan

Antara fakta yang menolak dakyah PAS dan PN termasuklah:

  • Bajet 2024 memperuntukkan lebih RM1.9 bilion untuk pembangunan hal ehwal Islam melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), termasuk pembangunan sekolah agama dan institusi tahfiz.
  • Penambahan dana untuk FELDA, MARA dan institusi Bumiputera diteruskan.
  • Projek pembangunan luar bandar seperti jalan kampung, bekalan air bersih dan sistem pembentungan turut mendapat peruntukan tertinggi dalam belanjawan.
  • Tiada satu pun dasar dari Kerajaan Perpaduan yang menyentuh atau mencabar Perkara 3 (Islam agama Persekutuan) atau Perkara 153 (hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera).

Ini membuktikan bahawa propaganda “undi UMNO/BN dapat DAP” bukan sahaja tidak benar, malah satu bentuk penipuan politik yang nyata dan berbahaya yang boleh merosakkan perpaduan dikalangan rakyat di negara ini yang telah sekian lama bertapak sejak dahulu lagi.

Politik Matang, Rakyat Bijak Menilai

Malaysia sedang menuju ke fasa politik baru yang lebih inklusif dan berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat. Masyarakat, khususnya orang Melayu-Islam, tidak lagi boleh terus dijadikan mangsa momokan politik sempit yang memecah belah.

Dakyah seperti “undi UMNO/BN dapat DAP” perlu dilihat sebagai serangan terhadap kesatuan negara dan cubaan memperalat agama untuk kepentingan politik. Rakyat mesti menolak politik fitnah dan kebencian, serta menyokong pemimpin yang membawa penyatuan, kemajuan dan kebertanggungjawaban.

Kerajaan Perpaduan hari ini adalah milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Ia bukan soal siapa kawan siapa, tetapi soal bagaimana kita bersama membina masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera untuk generasi akan datang.

Verified by MonsterInsights