Perselisihan Faham Punca Insiden Rempuh di Jalan Klang Lama
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Polis sedang mencari tiga individu lagi yang disyaki terlibat dalam insiden melanggar dan melarikan diri yang melibatkan dua kenderaan di Jalan Klang Lama pada Selasa lepas. Kejadian itu berlaku apabila kenderaan tersebut dipandu secara berbahaya sehingga melanggar sekumpulan lelaki.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, lima daripada lapan suspek telah berjaya ditahan di kawasan Banting, Selangor.
Kesemua suspek yang ditahan ini mempunyai rekod jenayah sebelum ini. Beliau juga menegaskan bahawa tiga suspek yang masih diburu diminta untuk segera menyerah diri.
“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Semua suspek akan ditahan untuk siasatan lanjut, dan kes ini masih dalam proses penyiasatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Azry Akmar juga memohon kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat sekiranya mereka mengetahui sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Maklumat berkaitan kejadian ini boleh disampaikan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222, atau ke mana-mana balai polis yang berdekatan.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan bahawa sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama menjadi gempar apabila sekumpulan individu dilanggar oleh dua kenderaan, iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios. Insiden ini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pihak yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, menyatakan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 24 tahun pada hari sebelumnya. Akibat insiden ini, dua orang mengalami kecederaan, dan seorang mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.