Dr Akmal Gesa Tindakan Tegas Isu Halal di UM
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta pihak polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam insiden penjualan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang diragui status halalnya di sebuah kedai serbaneka dalam Universiti Malaya (UM).
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, beliau turut menyoal bagaimana kedai serbaneka tersebut memperoleh logo halal yang tertera pada bungkusan produk berkenaan.
“Pada Jumaat lepas, pelajar UM telah membuat laporan polis setelah mendapati kedai serbaneka tersebut menjual sandwic yang diberi nama ‘ham and cheese’.
“‘Ham’ itu merujuk kepada khinzir, dan ia mengandungi daging babi. Sandwic ini dijual dalam UM, di mana majoriti penghuninya adalah orang Melayu,” katanya dalam satu hantaran di TikTok, semalam.
Menurut beliau, jika produk ini dijual kepada bukan Melayu seperti kaum Cina dan India, ia mungkin boleh difahami. Namun, yang menjadi isu ialah adanya logo halal pada bungkusan produk tersebut.
“Apakah jaminan produk halal lain yang dijual di kedai serbaneka ini, jika sandwic ‘ham and cheese’ pun boleh mendapatkan logo halal?” tambahnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa sebelum ini kedai serbaneka yang sama pernah mencetuskan kontroversi apabila menjual stoking yang memaparkan kalimah Allah, dan kini isu ‘ham and cheese’ pula timbul.
Susulan perkara ini, beliau menegaskan bahawa kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan mendesak semua pihak berhenti mempermainkan agama Islam.
Sebagai tindak balas, Universiti Malaya telah mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan kedai serbaneka dalam kampus mereka untuk memberi ruang kepada siasatan yang menyeluruh tanpa sebarang gangguan.
Dalam kenyataan media, UM menegaskan bahawa tindakan ini diambil bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan adil.
Dr Muhamad Akmal turut menimbulkan persoalan tentang status halal produk lain yang dijual di premis berkenaan, sekali gus menyeru pihak berwajib memastikan perkara ini tidak berulang.