Khabib

Insiden Frontier Airlines: Khabib Pertikai Layanan Kasar Pramugari

Petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Rusia, Khabib Nurmagomedov, mendakwa bahawa beliau telah diarahkan keluar dari sebuah penerbangan di Amerika Syarikat akibat pertikaian tempat duduk dengan kakitangan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas.

Dalam satu hantaran di platform X pada hari Isnin, legenda Ultimate Fighting Championship (UFC) itu menjelaskan bahawa insiden tersebut berlaku di atas pesawat Frontier Airlines. Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan tersebut berunsur diskriminasi perkauman.

Rakaman kejadian itu telah tersebar luas di media sosial, dengan laporan awal menyatakan bahawa insiden itu berlaku di atas penerbangan Alaska Airlines.

Bagaimanapun, tarikh sebenar kejadian tidak jelas dan Frontier Airlines masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Pertikaian tersebut melibatkan soal sama ada Nurmagomedov, yang duduk di barisan tempat duduk kecemasan, layak dan bersedia untuk membantu penumpang lain sekiranya berlaku keadaan kecemasan.

Menurut hantaran Khabib di X, seorang pramugari yang berinteraksi dengannya bersikap “sangat kasar sejak awal perbualan.”

Walaupun beliau menyatakan bahawa bahasa Inggerisnya cukup baik dan memahami semua arahan serta bersetuju untuk membantu, pramugari tersebut tetap bertegas mahu mengeluarkannya dari tempat duduk tersebut, jelasnya.

“Apa sebabnya? Adakah ini berkaitan perkauman, kebangsaan atau sebab lain? Saya tidak pasti,” tambahnya.

Dalam rakaman video kejadian yang dirakam oleh penumpang lain, pramugari itu kedengaran berkata kepada Khabib yang berusia 36 tahun, “Kami tidak boleh membenarkan anda duduk di barisan pintu kecemasan… Saya tidak mahu berbalas cakap. Saya akan panggil penyelia. Anda boleh memilih tempat duduk lain atau kami akan mengiringi anda keluar dari pesawat.”

Khabib kemudian membalas dengan berkata, “Ini tidak adil.”

Beliau juga menegaskan bahawa dia telah mematuhi semua arahan kru penerbangan semasa proses menaiki pesawat dan berkata, “Semasa di kaunter daftar masuk, mereka bertanya sama ada saya faham bahasa Inggeris… dan saya kata ya. Jadi, kenapa kamu buat begini?”

Pengurus pramugari itu, yang tidak berpuas hati dengan jawapan Khabib, menawarkan pilihan untuk berpindah ke tempat duduk lain atau menaiki penerbangan lain, seperti yang didengar dalam rakaman.

Khabib berkata bahawa pramugari tersebut telah memanggil pihak keselamatan selepas dua minit perbincangan, menyebabkan beliau dikeluarkan dari pesawat.

“Selepas 1.5 jam, saya menaiki pesawat lain dan meneruskan perjalanan ke destinasi saya,” tulisnya di X.

Difahamkan, Khabib sedang dalam perjalanan ke California untuk menyokong rakan sepasukannya menjelang acara UFC 311 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari di Los Angeles, Nevada, Amerika Syarikat.

Verified by MonsterInsights