Anwar Ibrahim

Kerjasama Malaysia-Jepun Percepat Pembangunan Semula Gaza – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Malaysia bakal mengambil inisiatif membangunkan sekolah, hospital, dan masjid di Gaza sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan melalui kerjasama menyeluruh antara pelbagai pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta seluruh rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk mempercepatkan usaha pemulihan Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD). Bagi merealisasikan matlamat tersebut, sebuah dana khas akan diwujudkan untuk menyokong pembangunan wilayah yang terjejas akibat konflik.

“Semoga kewujudan dana ini dapat merealisasikan visi dan misi yang telah dirancang.

“Kita juga berharap dan berdoa agar Allah SWT melindungi Gaza dan Palestin serta merahmati segala usaha kita dalam memberikan harapan baharu kepada mereka, insya-Allah,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, usaha pemulihan Gaza perlu dimulakan susulan pengumuman gencatan senjata pada 19 Januari lalu. Konflik berpanjangan sebelum ini telah mengorbankan lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.

Beliau sebelum ini menyatakan bahawa pemulihan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 memerlukan peruntukan besar, dianggarkan lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Kos yang tinggi diperlukan bagi membina semula infrastruktur penting seperti rumah, masjid, sekolah, dan hospital yang mengalami kemusnahan teruk.

Dalam pada itu, Malaysia telah dijemput oleh Jepun untuk menjadi pengerusi bersama dalam CEAPAD, sebuah platform yang berfokus kepada pembangunan semula Gaza.

Gencatan senjata di Gaza yang mula berkuat kuasa pada 19 Januari lalu akan dilaksanakan dalam tiga fasa bagi menamatkan peperangan yang telah berlarutan selama 15 bulan di wilayah tersebut.

Verified by MonsterInsights