KDN Rancang Tahanan di Rumah untuk Kurangkan Kesesakan Penjara

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang berkaitan dengan konsep tahanan di rumah dijadualkan untuk dibawa ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan perkara itu ketika muncul dalam rancangan Analisis Madani bertajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan, yang bersiaran langsung di TV Al Hijrah.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menjalankan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi merangka undang-undang berkaitan.

“KDN kini dalam proses meminda Akta Penjara 1995, dan dari segi dasar, Kabinet telah memberi kelulusan.

“Buat masa ini, KDN sedang mengadakan rundingan dengan Jabatan Peguam Negara bagi merangka perundangan berkaitan tahanan di rumah.

“Kita menjangkakan pembentangannya akan dilakukan pada sesi Parlimen hujung tahun ini memandangkan tiada peruntukan undang-undang sedia ada yang membenarkan konsep tahanan rumah dilaksanakan. Setakat ini, hanya terdapat perintah pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib, serta program parol,” jelasnya.

Program berkenaan, yang dikendalikan oleh pengacara Talib Husin, turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sebagai panel jemputan.

Berdasarkan portal rasmi Parlimen Malaysia, sidang terakhir bagi tahun ini, iaitu Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat, akan berlangsung dari 6 Oktober hingga 4 Disember 2025.

Dalam perkembangan lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa pada peringkat awal, pelaksanaan tahanan di rumah hanya akan melibatkan mereka yang berada dalam tahanan reman.

“Sebagai permulaan, hanya individu yang ditahan reman dalam penjara akan dipertimbangkan, bukan mereka yang telah disabitkan dengan hukuman.

“Ketika ini, terdapat sekitar 29,000 individu dalam tahanan reman di penjara, termasuk 8,000 hingga 9,000 yang berdepan tuduhan bagi kesalahan berat seperti rogol dan bunuh.

“Bagi kes-kes berat ini, mereka tidak akan dipertimbangkan dalam program tahanan rumah. Jadi, kira-kira 20,000 individu yang lain berkemungkinan layak, terutama mereka yang jika disabitkan kesalahan, hanya berdepan hukuman penjara kurang daripada tiga tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan di institusi penjara negara yang kini menempatkan lebih 87,000 penghuni.

Verified by MonsterInsights